bisnes

12 zon SOCAR di 12 KFC

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: KFC Malaysia menjalin kerjasama eksklusif dengan aplikasi perkongsian kereta SOCAR, sekali gus memperkenalkan 12 Zon SOCAR baharu di 12 restoran strategiknya di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, KFC berhasrat untuk menjadi peneraju dalam menyediakan perkhidmatan berinovatif bagi memberi manfaat kepada pelanggan.

Katanya, melalui kerjasama ini, pihaknya menggalakkan kemajuan mobiliti pintar yang dipercayai bakal memainkan peranan penting dalam kehidupan pada masa hadapan.

“Peluang kerjasama unik seperti ini membolehkan kami menjalankan aktiviti pemasaran secara lebih kreatif bagi menawarkan nilai tambah kepada pelanggan selain daripada perkhidmatan sedia ada.

“Secara asasnya, kami mengaplikasikan kemudahan teknologi yang disediakan bagi terus menawarkan kemudahan buat pelanggan kami,” katanya kepada media pada majlis kerjasama antara KFC Malaysia dan aplikasi perkongsian kereta, SOCAR di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Malaysia, Leon Foong.

Menerusi kerjasama itu, pihaknya memperkenalkan 12 Zon SOCAR bersama ganjaran menarik untuk dinikmati pelanggan dari 5 Disember 2018 hingga 28 Februari 2019.

Foong berkata, SOCAR bersama KFC berusaha memperluaskan lagi komuniti multiflex dan perkongsian kereta.

“SOCAR baru saja mengembangkan sayap ke Johor Bahru dan bakal diikuti dengan zon utara dan timur tidak lama lagi. Kami juga merancang menyediakan pilihan mobiliti mudah kepada semua warga Malaysia bagi melakukan perjalanan, bukan saja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara.

“Pada masa ini, 20 kereta berada di 12 zon SOCAR di cawangan KFC terpilih, Kuala Lumpur (tujuh) dan Johor (lima) menjadikan zon SOCAR terkini 475 lokasi.

“Kami mempunyai lebih 900 kereta disediakan untuk pelanggan dan akan menambah bilangannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, pelanggan KFC Delivery dalam talian akan menikmati diskaun SOCAR sepanjang kempen berlangsung.

Dengan perbelanjaan di KFC minimum RM40 dalam satu transaksi, pelanggan dapat menikmati diskaun RM40 daripada tempahan SOCAR seterusnya (kecuali kereta BMW dan Mini Cooper).

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 4:31am
d