bisnes

Skim perlindungan untuk saudara baru

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PENINGKATAN saudara baru yang tinggi mendorong Yayasan Mualaf Malaysia memperkenalkan skim perlindungan dikenali Takaful Mualaf Khairat Nasional dan Skim Simpanan Takaful Mualaf sebagai sebahagian dari pelan kebajikan dan pembangunan kelompok itu di Malaysia.

Pengerusinya Shila Lama Abdullah berkata, ia adalah antara jaminan sosial bagi memberi galakan dan sokongan kepada mereka untuk terus berpegang teguh dengan Islam selain mendapat hak seperti dianjurkan agama.

Katanya, sebagai saudara baru, mualaf juga perlu mempunyai persediaan menghadapi malapetaka dan musibah kewangan yang berkaitan kehidupan seperti kematian, lumpuh, sakit kritikal, kemalangan dan kos rawatan hospital.

"Apabila ianya berlaku, sudah tentu akan memberikan kesan yang besar dalam aspek kewangan dan kehidupan golongan mualaf selain impak sebagai kumpulan berisiko tinggi. Dalam situasi tertentu, masyarakat mualaf masih terpinggir di dalam pelbagai aspek termasuk hak kesamarataan sebagai seorang muslim.

"Sebab itu kita lancarkan dua skim ini yang merangkumi perkhidmatan khairat yang menyeluruh, tanpa tunai kepada waris dan perancangan pembelian rumah, mengerjakan umrah, rawatan di hospital swasta, pendidikan serta perniagaan," katanya kepada Harian Metro.

Shila berkata, inisiatif berkenaan adalah kesinambungan yayasan memberikan sokongan kewangan kepada saudara baru kerana sebahagian daripada mereka menjalani fasa baru selepas berhijrah malah ada yang terpaksa bermula dari bawah menyebabkan mereka mengalami kekangan kewangan.

"Kita harap ini akan menjadi suntikan semangat kepada saudara kita untuk merancang kehidupan mereka sebaik mungkin," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 12:14am
d