bisnes

CIMB komited banteras penipuan

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Kumpulan CIMB komited untuk membanteras aktiviti penipuan membabitkan sektor perbankan yang mampu menyebabkan kerugian sehingga jutaan ringgit kepada orang ramai khususnya pelanggan bank itu.

Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan CIMB, Kwan Keen Yew berkata, bank berkenaan melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha bersepadu bagi menangani kegiatan itu daripada terus menular.

Beliau berkata, antara inisiatif itu termasuklah kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur dalam Kempen Pencegahan Jenayah Siber dalam mempertingkatkan kesedaran orang awam mengenai kegiatan penipuan yang berleluasa ketika ini.

“Orang ramai yang menjadi mangsa perlu mengambil tindakan dengan cepat dan terus melaporkan kepada pihak bank dan pihak berkuasa supaya apa sahaja transaksi yang mencurigakan dapat dihentikan dengan segera.

“Malah, mereka juga dinasihatkan untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran ataupun panggilan yang menyatakannya dari pihak bank atau sebaliknya.

“Sekiranya sangsi, lapor atau hubungi bank atau institusi sebenar supaya dapat mengelakkan dari tertipu dan akhirnya mengalami kerugian kepada diri sendiri,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Siber, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Kempen itu adalah anjuran bersama Polis Kuala Lumpur dan Kumpulan CIMB bagi memerangi dan memberi pendidikan serta kesedaran kepada masyarakat supaya tidak menjadi mangsa kepada jenayah siber.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 6:00am
d