bisnes

Ryzen 3000, awal tahun depan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

SYARIKAT pengeluar cip pemproses terkemuka dunia, Advanced Micro Devices (AMD) bakal mengumumkan generasi baru pemproses keluarannya iaitu Ryzen, pada awal tahun depan.

Pengumuman itu yang dijangka pada Januari tahun depan akan memperkenalkan generasi ketiga Ryzen atau Siri Ryzen 3000 selepas generasi kedua yang dikeluarkan pada April tahun ini.

Berdasarkan prestasi, Ryzen 3000 dijangka akan meningkatkan tahap keupayaan pemproses berkenaan dengan generasi baru seni bina Zen 2.

Sehingga kini, AMD masih belum mengumumkan sebarang spesifikasi khusus pemproses generasi ketiga miliknya namun dijangka ia lebih berkuasa daripada generasi sebelumnya.

Pengumuman rasmi itu dijangka akan dibuat ketika Konvensyen Inovasi CES 2019 di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) dan acara tahunan itu bermula pada 9 hingga 12 Januari depan.

Siri Ryzen 3000 dijangka akan menggunakan teknologi Zen dan Zen+ yang digunakan untuk pemproses generasi pertama serta kedua dan mungkin prestasinya akan dipertingkatkan.

Teras pemproses Siri Ryzen 3000 ini juga akan dipertingkatkan supaya terus relevan dalam masa depan dan sentiasa menjadi pilihan pengguna terutamanya menerusi segmen pemain video.

Pada masa sama, AMD masih belum mengumumkan keluran generasi ketiga cip pemproses prestasi tinggi iaitu Threadripper, namun kebiasaannya, syarikat itu akan mengeluarkan pemproses mampu milik sebelum mengumumkan produk prestasi tinggi mereka.

Berdasarkan khabar angin, generasi ketiga Threadripper akan menawarkan teras pemproses antara 24 hingga 64 teras dan lebih daripada 128 bebenang untuk menyokong cip prestasi tinggi berkenaan.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 4:35pm
d