bisnes

Pacu ekonomi utara tanah air

Oleh Suzalina Halid

BUKIT KAYU HITAM: Kerajaan negeri akan membangunkan sebuah zon khas bagi sektor aeroangkasa di Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di sini, bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam industri terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya melihat sektor komponen pembuatan kapal terbang banyak menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi negara maka Kedah harus mengambil peluang itu dengan menyediakan kawasan khusus bagi tujuan itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara inisiatif bagi menarik pelaburan khususnya dalam industri aeroangkasa yang boleh dilakukan negeri ialah menyediakan tenaga kerja mahir dan lokasi manakala dari aspek insentif pula ia dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Antara komponen dalam KSTP ialah adanya zon bagi aeroangkasa dengan harapan dapat menarik lebih banyak syarikat yang mengeluarkan komponen pesawat untuk melabur dan menempatkan kilang pemprosesan mereka di sini.

“Ini kerana kita dapat melihat dua sektor dalam aeroangkasa iaitu segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) menyumbang RM6.23 bilion manakala material komposit pula RM6.6 bilion pada tahun lalu dalam pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Terdahulu, Mukhriz menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Aerospace Composites Malaysia (ACM) Sdn Bhd dengan empat institusi pendidikan di Kedah dan Perlis bagi meningkatkan kemahiran golongan muda untuk mendapatkan pekerjaan bernilai tinggi dalam industri aeroangkasa.

Empat institusi pendidikan itu ialah Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP); Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS); Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra.

Pada masa sama, Mukhriz berkata, buat masa ini, pihaknya meminta bantuan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) termasuk khidmat nasihat dalam menarik pelaburan melalui industri aeroangkasa.

Katanya, beliau percaya kedatangan pelabur dalam industri aeroangkasa mampu melonjakkan ekonomi negeri khususnya dalam menawarkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada golongan muda.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 6:00am
d