bisnes

China, Eropah minat bina KXP

Bukan saja tapak hab penerbangan kargo sudah dikenal pasti, dua hasil kajian kesesuaian pembinaan turut memberi laporan positif”
Mukhriz Mahathir

Langkawi: Perancangan mewujudkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bernilai RM1.6 bilion bukan cakap semata-mata, sebaliknya usaha berterusan dilakukan kerajaan negeri bagi memastikan hasrat itu tercapai.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bukan saja tapak hab penerbangan kargo itu sudah dikenal pasti, malah dua hasil kajian kesesuaian pembinaannya turut memberi laporan sangat positif.

“Kerajaan Persekutuan juga tiada halangan untuk kita (kerajaan negeri) meneruskan perancangan itu, cuma mencadangkan supaya mempertimbangkan kaedah pembiayaan oleh pihak swasta.

“Susulan itu, banyak syarikat berminat membina KXP ini termasuk dari China dan Eropah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Kedah (KIBIS) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Institut Strategi Antarabangsa (ISI) Cheah Chyuan Yong.

Mukhriz berkata, dua syarikat berpengalaman luas dalam pembinaan lapangan terbang di negara ini memberi laporan positif dengan mengesyorkan supaya pembinaan KXP disegerakan.

“Dua kajian yang dijalan syarikat terbabit menunjukkan cadangan (pembinaan KXP) yang memfokuskan kepada penerbangan kargo sangat baik, malah boleh melonjakkan ekonomi Kedah.

“Ini turut disokong oleh lokasinya yang berdekatan dengan Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Pulau Pinang yang amat diperlukan oleh pengimport dan pengeksport,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 5:13pm
d