bisnes

Permintaan kukuh

Oleh Mahanum Abdul Aziz dan Farah Adilla

Kuala Lumpur: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) dan Eco World International Bhd (EcoWorld International) menyasarkan gabungan jualan RM12 bilion dalam tempoh 2019-2020.

Pengerusi EcoWorld Malaysia Tan Sri Liew Kee Sin berkata, pemaju hartanah terkemuka itu optimis sasaran terbabit mampu dicapai bersandarkan kepada permintaan kukuh terhadap projeknya di pasaran tempatan dan luar negara.

Beliau berkata, kumpulan hartanah itu mencatatkan prestasi kukuh dengan jualan tempatan dan antarabangsa melebihi RM6 bilion bagi tahun kewangan 2018 meskipun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar.

“Kami jangka 2019 dan 2020 akan menjadi tahun yang baik bagi EcoWorld didorong jualan belum dibilkan paras rekod sebanyak RM6.4 bilion bagi EcoWorld Malaysia dan RM6.6 bilion (EcoWorld International),” katanya pada sidang media, di sini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia Datuk Chang Khim Wah dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld International Datuk Teow Leong Seng.

Mengulas mengenai rancangan pada 2019, Kee Sin berkata, EcoWorld Malaysia akan melancarkan kempen baru dikenali HOPE - Program Pemilikan Rumah pada Januari 2019.

Beliau berkata, kempen baru itu mengandungi dua penyelesaian pemilikan rumah inovatif bagi membolehkan pelanggan memiliki rumah idaman.

Untuk projek di luar negara pula, pemaju hartanah itu akan terus menumpukan projek di United Kingdom (UK) yang mencatatkan permintaan memberangsangkan bagi subsektor Bina-dan-Sewa (BtR).

“Kami mencatatkan prestasi yang baik di pasaran UK dan kami akan memberi tumpuan bagi mengembangkan kehadiran dalam subsektor BtR di London yang dilihat sebagai pemacu utama bagi kumpulan dalam tempoh sederhana,” kata Kee Sin.

EcoWorld International mencatatkan nilai jualan lebih RM2 bilion membabitkan BtR di UK dalam tempoh kurang enam bulan selepas selesai pengambilalihan 70 peratus perniagaan pembangunan kediaman Willmott Dixon.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2018, EcoWold Malaysia mencatatkan untung bersih teras sebanyak RM165.6 juta, meningkat 46 peratus berbanding RM113.1 juta pada tahun sebelumnya.

EcoWorld International pula mencatatkan untung bersih RM35.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2018 berbanding rugi bersih RM87.5 juta pada tahun sebelumnya.

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 9:47pm
d