bisnes

ABM mahu pelatih cebur bidang keusahawanan

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Akademi Binaan Malaysia (ABM) menerusi program Usahawan Kemahiran mahu pelatihnya menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, seterusnya menjadi kumpulan kontraktor mahir generasi baharu.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, ABM bukan saja memberi peluang golongan belia mendalami kemahiran dalam industri binaan, malah turut menjadi platform kepada mereka yang mempunyai perniagaan sendiri.

Beliau berkata, pihaknya mahu mewujudkan pelapis kontraktor bersama pemikiran dan kelas tersendiri serta menjadi lebih profesional dengan kemahiran yang diperoleh sepanjang tempoh pengajian di ABM.

“Menerusi program Usahawan Kemahiran ini, pelatih lepasan ABM diberi latihan berkonsepkan Penjenamaan Kumpulan bagi melahirkan usahawan berkredibiliti dan berjaya.

“Buat masa ini, program ini hanya berada di ABM Wilayah Selatan dengan bidang tumpuan adalah Kemahiran Penghawa Dingin yang mempunyai prestasi yang memberangsangkan daripada pesertanya.

“Pada masa akan datang, kita merancang untuk mengembangkan program usahawan ini ke ABM Wilayah Utara serta memperkenalkan program baharu seperti Kemahiran Pendawaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis graduasi pelatih ABM Wilayah Tengah yang dirasmikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir di sini, semalam.

Majlis graduasi itu mengiktiraf seramai 210 pelatih mahir yang berjaya menamatkan kursus di ABM Wilayah Tengah dengan penyampaian Sijil Kecekapan CIDB (SKK) CIDB.

Setakat ini, lapan pelatih terpilih sedang mengikuti program usahawan itu dan pada sesi pemilihan terakhir akan menyaksikan empat pelatih terakhir layak untuk menerima peruntukan set peralatan bernilai RM 10,000 setiap seorang.

Ahmad Asri berkata, CIDB akan menaja peralatan lengkap dan membantu peserta memulakan kerjaya sebagai usahawan.

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 9:39am
d