bisnes

PNB umum 4 ahli Lembaga Pengarah baru

Oleh Nabil Basaruddin

PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pelantikan empat ahli Lembaga Pengarah baharu berkuat kuasa 1 Januari 2019, bagi menggantikan ahli lembaga pengarah yang akan bersara pada 31 Disember ini.

Pelantikan ahli Lembaga Pengarah itu terdiri daripada Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, Tan Sri Zainun Ali, Datuk Dr Nik Ramlah Nik Mahmood dan Datuk Johan Ariffin.

Ia adalah bagi menggantikan tempat Tan Sri Dr Ali Hamsa, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Tan Sri Zarinah Anwar.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, PNB mengalu-alukan penyertaan empat ahli lembaga pengarah baharu yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

“Saya mengalu-alukan pelantikan ahli baharu menyertai Lembaga Pengarah PNB dengan pengalaman luas yang mereka miliki serta saling melengkapi dalam bidang masing-masing iaitu pelaburan, undang-undang, ekonomi dan hartanah.

“Diharapkan PNB akan memperoleh manfaat daripada sumbangan mereka seiring dengan fokus berterusan dalam menguatkan daya tahan dan melaksanakan mandat bagi memperkasa kekayaan ekonomi Bumiputera dan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Badri adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan berkhidmat dengan Kementerian Kewangan selama lebih 25 tahun manakala, Zainun pula adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Selain itu, Nik Ramlah adalah bekas Timbalan Ketua Eksekutif, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan kini berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Johan pula adalah Pengerusi Mitraland Group of Companies dan Pelaburan Hartanah Nasional Berhad, serta menjadi ahli lembaga pengarah bagi beberapa syarikat senaraian awam termasuklah Sime Darby Property Bhd dan berpengalaman luas dalam bidang pembangunan hartanah, perbankan dan insurans.

Dalam pada itu, PNB turut mengumumkan Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali akan bersara sebagai ahli Lembaga Pengarah ASNB dan PNB Research Institute Sdn Bhd berkuat kuasa pada 31 Disember ini.

Zeti berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Lembaga Pengarah PNB dan ASNB yang akan bersara atas komitmen dan sumbangan mereka selama ini.

“PNB memperoleh manfaat daripada ilmu serta bimbingan mereka sepanjang tempoh mereka menjadi ahli Lembaga Pengarah PNB dan ASNB,” katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 6:08pm
d