bisnes

Unjuran ekonomi negara berkembang bawah 5%

Oleh Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Risiko terhadap pertumbuhan bagi ekonomi Malaysia tahun ini adalah perkembangan luaran, khususnya peningkatan ketegangan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Selain itu, dasar monetari dalam ekonomi utama, hala tuju minyak mentah dan ketidaktentuan politik dan sosial ekonomi di Eropah juga menjadi perhatian pada 2019.

Kebanyakan ahli ekonomi mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang di bawah 5.0 peratus pada 2019 dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu pertumbuhan.

Mengenai perkembangan pasaran ekuiti tempatan, kebimbangan terhadap hutang dan liabiliti kerajaan yang tinggi; pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan; harga jalur lebar yang lebih rendah; penangguhan dan semakan semula kos projek infrastruktur mega dan kebimbangan terhadap cukai baharu antara perkembangan domestik yang memberi kesan kepada pasaran selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada masa sama, ketidaktentuan luaran yang ditimbulkan perang perdagangan AS-China dan peningkatan kadar faedah AS juga memberi tekanan kepada prestasi pasaran tempatan.

Pengaliran keluar dana asing daripada pasaran tempatan dan aliran menurun harga minyak sawit mentah (MSM) juga menjejaskan pasaran saham tempatan.

Bagi 2019, kebanyakan pemerhati pasaran mengunjurkan indeks penanda aras pasaran saham tempatan dijangka berada pada paras lebih 1,800 mata menjelang akhir tahun depan.

Selepas mencatatkan pertumbuhan kukuh di luar jangkaan sebanyak 5.9 peratus pada 2017, persekitaran global yang mencabar memperlihatkan ekonomi negara menyederhana pada 2018.

Namun, permintaan domestik yang kekal utuh menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara meskipun kebanyakan ekonomi utama global terus mencatatkan pertumbuhan sederhana.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 11:00am
d