bisnes

Buka 5 butik LOL

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

PUTRAJAYA: Super Gem Resources Sdn Bhd, pengendali butik pakaian jenama LOL yakin mencapai perolehan mencecah lapan digit tahun depan dipacu sambutan bagi produk terbarunya, Cozmic Lab.

Cozmic Lab adalah usaha sama unik antara LOL dengan Brother International yang memberi peluang kepada pelanggan menempah khusus pakaian pilihan mereka yang boleh dicetak hanya dalam satu minit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joey Chong Yan Kit berkata, pihaknya akan membuka empat lagi cawangan Cozmic Lab di dalam butik LOL sedia ada iaitu di Sunway Pyramid, Sunway Velocity, Berjaya Times Square dan Paradigm Mall, Johor Bahru.

“Buat masa ini, kami mengendalikan 15 cawangan LOL di seluruh negara dan merancang membuka lima butik baru pada 2019 dengan tumpuan diberikan di sekitar Lembah Klang.

“Malah, kami akan memastikan semua cawangan LOL dilengkapi kemudahan Cozmic Lab menjelang separuh pertama 2019,” katanya pada pelancaran Cozmic Lab di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Brother International (Malaysia) Sdn Bhd, Itsuo Segawa.

Menurutnya, pihaknya yakin mencapai pendapatan memberangsangkan pada tahun depan khususnya dengan tawaran daripada Cozmic Lab.

“Kami percaya Cozmic Lab dapat menghubungkan kami dengan pelanggan dan menarik mereka menerusi cara inovatif dalam membuat pembelian dan merasai pengalaman jenama kami.

“Untuk jangka masa panjang, kami akan membuka ruang kepada bakat tempatan untuk mencetak karya mereka dan dijadikan koleksi pakaian edisi istimewa kepada pelanggan LOL dan pengikut mereka,” katanya.

Sebagai permulaan, Cozmic Lab menawarkan watak ikonik termasuk Doraemon, Lotto Lifestyle Collections selain Peanuts Global Artist Collective, Nasa dan koleksi lengkap Sega Sonic yang julung kali dibawa ke Malaysia.

Mesin pencetak pakaian yang digunakan iaitu Brother OEKO-TEX 100 mampu menghasilkan produk akhir hanya dalam satu minit untuk setiap cetakan, selain bersifat mesra alam kerana menggunakan dakwat dan cecair pembersih berasaskan air.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 10:16am
d