bisnes

Kekal positif

Oleh Azzman Abdul Jamal

Kuala Lumpur: Sektor automotif yang menjadi antara petunjuk penting pertumbuhan ekonomi negara dijangka kekal positif untuk tahun ini dengan jumlah keluaran industri (TIV) diunjurkan mencecah 599,000 unit, meningkat 2.1 peratus berbanding 2018.

MIDF Research berkata, kenderaan nasional dijangka meningkatkan penguasaan pasaran pada 2019, berikutan pelancaran model baharu untuk tempoh enam bulan.

“Harga Proton X70 meletakkannya di kedudukan B segmen spesifikasi tinggi, C segmen spesifikasi rendah dan B segmen kenderaan utiliti sukan (SUV), manakala PERODUA pula bakal menawarkan saingan kepada model itu apabila dijangka memperkenalkan SUV pada suku pertama 2019.

“Memandangkan SUV baharu ini akan meluaskan tawaran produk kenderaan tempatan, kami mengunjurkan PROTON meluaskan penguasaan pasaran kepada 13.9 peratus,” katanya dalam satu nota.

Selain itu, katanya, kajian semula NAP pada 2019 mampu mencetuskan ketidaktentuan kerana ia mungkin merangkumi langkah menyokong projek kereta nasional ketiga.

“Rancangan itu masih tidak jelas sehingga kini, tetapi berkaitan insentif signifikan untuk model kereta nasional baharu dari segi cukai dan halangan untuk kenderaan bukan tempatan, ia mungkin mengubah landskap semasa,” katanya

Tahun 2018 dilihat sebagai tahun yang baik untuk sektor automotif tempatan apabila kebanyakan daripada syarikat automotif menunjukkan peningkatan prestasi jualan kenderaan sepanjang tahun lalu berbanding 2017.

Dorongan utama kepada prestasi memberangsangkan itu kebanyakannya disumbangkan semasa tempoh pelepasan cukai pada suku ketiga apabila kerajaan mengumumkan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dari 1 Jun hingga 31 Ogos lalu sebelum memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Tempahan dan pembelian kenderaan pada tempoh itu menyaksikan peningkatan mendadak berbanding tempoh sama 2017 apabila ramai menggunakan kesempatan itu untuk mendapatkan kenderaan pada harga yang lebih murah.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 12:00pm
d