bisnes

Cuti bersalin 6 bulan

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mengumumkan faedah cuti bersalin selama enam bulan bergaji bagi kakitangan yang pertama kali bergelar ibu.

Ia berkuat kuasa pada 1 Januari lalu untuk semua pekerja CIMB di Malaysia.

Faedah berkenaan adalah tambahan kepada cuti selama sebulan yang diberikan untuk kakitangan CIMB yang pertama kali bergelar bapa.

Ketua Pegawai Kakitangan Kumpulan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin berkata, tempoh cuti berkenaan boleh diambil kira-kira 30 hari sebelum tarikh jangkaan bersalin.

“Mereka yang pertama kali bergelar ibu boleh menikmati faedah ini 30 hari sebelum tarikh jangkaan bersalin.

“Malah, ia boleh dilanjutkan dengan mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan yang turut ditawarkan kepada kakitangan bagi membolehkan mereka menjaga anak sulung mereka sehingga berusia setahun,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, faedah yang ditawarkan ini adalah sebahagian daripada pendekatan holistik Kumpulan dalam menguruskan modal insan.

“Kami percaya setiap individu mempunyai keperluan berbeza dalam setiap fasa kehidupan mereka.

“Kami juga percaya faedah yang diberikan dapat memupuk budaya keibu bapaan tanpa perlu meninggalkan kerjaya sedia ada," katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 5:36pm
d