bisnes

Ada vendor berminat

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) memperuntukkan sehingga RM20 juta bagi membangunkan prototaip di bawah Projek Kereta Nasional Baru (NNCP) yang sebahagian besarnya daripada pelaburan vendor.

Prototaip itu dijangka dilancarkan pada suku pertama 2019.

Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, setakat ini kementeriannya mengenal pasti beberapa vendor yang berminat dan kebanyakannya sudah mempunyai dana sendiri bagi menjalankan kerja membina prototaip di bawah NNCP.

“Jadi tidak timbul isu dana itu dari mana kerana mereka sendiri sudah mempunyai dana untuk menjalankan projek ini.

“Terdapat juga bantuan geran sedia ada oleh kementerian yang mana ia dapat menjadi pemangkin dan membantu dalam usaha yang akan dijalankan oleh vendor ini.

“Mereka juga mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang dalam sektor automotif dan kita yakin mereka dapat menghasilkan prototaip yang baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Lestari, kerjasama antara MED dan Petronas di sini, semalam.

Terdahulu, dalam temu bual bersama Mohd Redzuan, beliau berkata, sebagai kementerian yang menerajui pembangunan vendor, MED akan melaksanakan inisiatif pembangunan kapasiti sumber manusia serta pemindahan teknologi.

Bagaimanapun, katanya, meskipun terdapat peruntukan sebanyak itu, peserta industri dari sektor swasta turut menunjukkan minat untuk menyumbang bagi membangunkan protaip kereta nasional baru itu.

“Menerusi NNCP, ia merangsang banyak sektor swasta untuk bersama-sama kerajaan dalam menjayakan prototaip kereta nasional ini.

“Malah, kerajaan akan gunakan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedia ada supaya ia dapat merancakkan lagi pembinaan dan kemajuannya,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa koordinasi NNCP pada 12 Oktober 2018 dan 14 Disember 2018 bersetuju Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dijadikan penyelaras kepada kementerian yang terbabit dalam projek ini.

Selain MED, kementerian berkaitan adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 12:00pm
d