bisnes

Tumpu jualan biskut online

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Perfect Food Manufacturing Sdn Bhd, pengeluar biskut tempatan jenama Julie’s menyasarkan sumbangan sekitar lima hingga 10 peratus dari segmen e-dagang kepada jumlah jualan keseluruhan syarikat itu untuk tahun ini.

Pengarahnya, Sai Tzy Horng berkata, syarikat itu juga akan mula memberi tumpuan kepada penjualan menerusi platform e-dagang dan sebagai permulaan, Julie’s menjalin kerjasama bersama Lazada dan Shopee.

Beliau berkata, usaha untuk mengembangkan jualan menerusi platform dalam talian ini masih lagi baharu namun syarikat terus menggandakan usaha kerana ia pasaran berpotensi tinggi.

“Sebagai permulaan, kami menjangkakan sumbangan sekitar lima hingga 10 peratus daripada jualan di platform dalam talian ini dan pada masa sama meninjau peluang lain.

“Menerusi usaha sama bersama Lazada dan Shopee, kami melihat ia mendapat sambutan menggalakkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Kempen What’s Your Love Letter? di sini, semalam.

Pembeli boleh mengambil bahagian dalam kempen bermula pada 8 Januari hingga 3 Februari depan yang menawarkan baucar makan malam bernilai RM1,000 kepada 15 pemenang.

Selain itu, Julie’s juga mengadakan pameran bergerak bersempena Tahun Baru Cina pada 11 Januari hingga 3 Februari depan di 53 lokasi berbeza di seluruh negara.

Mengenai operasi tahun ini, Sai berkata, syarikat mengambil pendekatan untuk mengukuhkan kecekapan jualan dan produk bagi pasaran sedia ada serta meninjau pasaran baharu.

“Tahun ini masanya kami ingin memberikan pembaharuan seperti pembungkusan dan imej baharu yang akan menampilkan wajah yang lebih segar dan menarik,” katanya.

“Tumpuan kepada pasaran sedia ada juga adalah penting bagi mengukuhkan kedudukan serta kehadiran jenama Julie’s dalam pasaran tempatan dan luar negara,” katanya.

Julie’s adalah pengeksport biskut terbesar di Malaysia dan berkembang pesat di lebih 85 negara di beberapa rantau seperti Asia Tenggara, Asia, Afrika, Amerika dan Timur Tengah.

Ketika ini, pengeluar biskut itu mengendalikan operasi kilang di kawasan seluas 6.07 hektar di Melaka dan menghasilkan lebih 100 jenis biskut bagi memenuhi kehendak pengguna yang berbeza.

tamat

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 6:30am
d