bisnes

Terus berdaya saing

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil sederhana (PKS) perlu melakukan kaedah pemasaran pintar bagi mengekalkan margin dan keuntungan serta menarik pelanggan baru dalam usaha untuk memastikan syarikat mereka terus berdaya saing di pasaran.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (Universiti Kebangsaan Malaysia-CESMED) Profesor Datin Dr Shamshubaridah Ramlee berkata, PKS boleh melaksanakan kaedah terbabit dengan memanfaatkan perkembangan teknologi dalam era Revolusi Industri 4.0 (4IR) ini.

“Penggunaan teknologi untuk berurusniaga boleh mengurangkan kos untuk mendapatkan pelanggan, sekali gus turut mengurangkan perbelanjaan pemasaran seperti promosi dan pentadbiran.

“Melalui media sosial, PKS mampu untuk menjangkau pelanggan mereka dengan lebih luas tanpa kos besar berbanding penggunaan kaedah pemasaran tradisional dan mereka juga mesti berhemah dalam perbelanjaan agar lebih berjimat untuk mengurangkan kos,” katanya pada Bisnes Metro di sini, semalam.

Sebelum ini, agensi pelaporan kredit swasta iaitu CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) melalui sebuah kaji selidik untuk sektor PKS menyatakan mengekalkan margin jualan dan keuntungan adalah kebimbangan utama dalam kalangan usahawan PKS selain mendapatkan pelanggan baru.

Beliau berkata, pengurusan margin keuntungan adalah antara faktor yang paling penting dalam menguruskan perniagaan di mana ia memerlukan kemahiran pengurusan kos dan perbelanjaan pemasaran serta pentadbiran.

“Antara sebab pengurusan margin ini sukar dan rumit adalah peningkatan kos pengeluaran seperti bahan mentah, kos buruh dan overhead dengan peningkatan kos adalah sesuatu di luar kawalan PKS seperti contoh ‘perang perdagangan’ antara China dan Amerika Syarikat,” katanya.

Mengulas apakah inisiatif sedia ada pihak kerajaan tidak membantu PKS dalam mengukuhkan kemahiran dalam pengurusan kewangan syarikat, Shamshubaridah berkata keberkesanan program seperti coaching dan mentoring perlu dilihat semula meskipun pelbagai program sudah dianjurkan.

“Ramai di antara PKS dibantu tetapi jika ditanya mengenai keberkesanannya, agak ramai yang kecewa kerana sebahagian jurulatih dan mentor ini adalah pelatih yang mahir dalam teknik melatih namun apa lebih penting adalah pengalaman perniagaan mereka sendiri dalam bidang yang diceburi PKS.

“Ini menjadikan kandungan latihan yang diberikan lebih menyentuh dan dapat dijiwai terus dilaksanakan oleh PKS. Kesimpulannya, program membimbing PKS masih perlu ditingkatkan yang mana ia turut memerlukan input daripada usahawan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, 2019 adalah tahun yang lebih mencabar akibat perkembangan dalam dan luar negara dengan PKS hanya mampu mengawal faktor dalaman dengan mengambil kira perkembangan luar persekitaran syarikat demi mengatur strategi pengurusan perniagaan mereka.

“Justeru, kemahiran mengurus amat penting dan memerlukan mereka celik dalam pengurusan perniagaan terutama pengurusan kewangan,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 12:00pm
d