bisnes

Kembali terbang ke Kochi

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines mengumumkan penyambungan semua penerbangannya ke Kochi, India dengan penerbangan sulung pada 31 Mac 2019.

Malaysia Airlines berkata, ia akan terbang setiap hari ke Kochi melalui MH109 yang menggunakan pesawat B737-800 yang berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 10.40 malam dan tiba di Kochi pada jam 12.01 tengah malam hari berikutnya.

Penerbangan pulang iaitu MH109 pula akan berlepas dari Kochi pada jam 1 pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada jam 7.50 pagi pada hari yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail berkata, India adalah pasaran yang penting dan penerbangan ke Kochi diperkenalkan semula atas kepentingan perniagaan.

“Kami juga meningkatkan keupayaan bagi laluan Kuala Lumpur-Mumbai dengan menukar salah satu pesawat B737-800 kepada A330-300 badan lebar sekali gus menunjukkkan komitmen kami terhadap pasaran India,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Malaysia Airlines bakal menganjurkan promosi khas sempena penerbangan sulungnya bagi perjalanan dari 31 Mac 2019 hingga 31 Ogos 2019.

Mulai sekarang hingga 20 Januari 2019, pelanggan boleh terbang dari serendah RM299 pergi balik termasuk semua bagi Kelas Ekonomi ke Kochi dan bermula serendah RM899 pergi balik termasuk semua bagi Kelas Perniagaan.

Tambang istimewa ini termasuk elaun bagasi 30 kilogram (kg) bagi Kelas Ekonomi atau elaun bagasi 40 kg bagi Kelas Perniagaan, makanan percuma dan hiburan dalam pesawat.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 11:38am
d