bisnes

Sasaran jualan 10 ribu motosikal segmen 'street'

Oleh Lizam Ridzuan

MOTOSIKAL dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), pembuat dan pengeluar motosikal jenama Modenas menyasarkan jualan sebanyak 10 ribu unit tahun ini untuk motosikal segmen ‘street’.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Amirudin Abd Kadir berkata, model hasil kerjasama strategik dengan Bajaj Auto Ltd (BAL) itu terdiri daripada Dominar, Pulsar RS200 dan NS200 serta V15 melihatkan peningkatan positif sejak diperkenalkan pada 2017.

“Dominar pula dilancarkan pada April 2018 sudah terjual sebanyak 1,100 unit dalam tempoh kurang dari setahun menjadikan jumlah keseluruhan terjual sekitar 9,800 sehingga tarikh ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis Pulsar Dareventure Malaysia di Shah Alam, semalam.

Modenas juga mencatatkan penguasaan pasaran segmen dalam motosikal street di bawah 1,000cc sebanyak 40 peratus dan untuk jumlah keseluruhan sekitar 6 peratus di negara ini.

Bagi meningkatkan jumlah jualan, Modenas bakal memperkenalkan dua varian baru dalam segmen ‘moped’ dan ‘street’ untuk mengekalkan momentum dalam mengukuhkan jenama dan produk.

Tambahnya lagi, pasaran jualan motosikal di Malaysia meningkat sebanyak dua peratus tahun lalu daripada jumlah 570,000 unit dicatatkan dan 79 peratus daripadanya ialah motosikal ‘moped’ atau ‘cub’.

“Kami bakal melengkapi penawaran ‘moped’ daripada varian rendah dan premium serta memperkenalkan model yang dinantikan ke dalam pasaran tidak lama lagi,” katanya.

Modenas juga memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta untuk penambahan pusat Modenas Service Plus tahun ini daripada 15 buah ditambah menjadi 45 pada suku tahun 2019 di seluruh negara.

Ia dilengkapi peralatan khas untuk menganalisis dan membaiki ‘street bike’ Modenas bagi khidmat selepas jualan yang terbaik serta penjagaan enjin lebih rapi kepada pemilik

Terdahulu, Amirudin melancarkan program realiti Pulsar Dareventure Malaysia untuk saluran YouTube Modenas Malaysia menampilkan 10 penunggang mengharungi cabaran dalam 8 episod menggunakan model Modenas Pulsar NS200 yang bakal memulakan siaran pada 8 Februari hadapan.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 3:29pm
d