bisnes

CIDB sasar 50% projek guna sistem IBS

Oleh Hazwan Faisal Mohamad dan Sofyan Rizal Ishak

Kualal Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menyasarkan 50 peratus projek pembinaan swasta yang bernilai lebih RM50 juta akan menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) sepenuhnya, tahun depan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, ketika ini hanya 35 peratus projek pembinaan swasta di seluruh negara menggunakan IBS dan kadar itu akan meningkat selepas lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) mewajibkan penggunaan teknologi itu.

Katanya, buat masa ini hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Putrajaya Holdings yang mewajibkan penggunaan IBS bagi projek swasta.

“Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan cadangan penggunaan IBS bagi projek swasta bernilai lebih RM50 juta dan mesti mencapai skor minimum 50 (pada awal tahun lalu).

“Ketika ini, arahan ini sudah diluluskan di peringkat nasional dan dibawa ke peringkat negeri. Setakat yang saya tahu, tujuh negeri meluluskannya dan kini akan membawanya ke peringkat PBT pula.

“Buat masa ini arahan itu belum dilaksanakan sepenuhnya oleh PBT dan kami memberi masa sehingga tahun depan untuk berbuat demikian. Kami harapkan menjelang 2020, semua PBT akan melaksanakan arahan ini sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran program Penilaian dan Pensijilan Pengeluar/Produk IBS (IMPACT) di sini, semalam.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Program IMPACT adalah satu kaedah penilaian sistematik bagi memberi pengiktirafan dan pensijilan komponen IBS di sepanjang rantaian nilai termasuk pengeluar, pengeluar dan kontraktor pemasang, reka bentuk dan pengeluar dan reka bentuk, pengeluar dan kontraktor pemasang.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 11:30am
d