bisnes

Cari tenaga kerja digital

Oleh Nora Mahpar

Kuala Lumpur: Tenaga kerja yang memiliki kemahiran digital mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan seiring dengan usaha mereka ke arah transformasi digital, demikian menurut JobStreet.com.

Pengurus Negaranya, Gan Bock Herm berkata, berdasarkan kajian Prospek Pekerjaan 2019 Jobstreet.com, landskap pekerjaan dijangka mengalami peralihan besar-besaran sejajar dengan transformasi negara ke arah ekonomi digital dan inisiatif Revolusi Industri 4.0, demikian menurut JobStreet.com.

Katanya, majikan ketika ini giat mengembangkan skop bakat dalam usaha memacu pertumbuhan perniagaan, khususnya dalam bidang seperti maklumat dan teknologi (IT), pengkomputeran, pemasaran digital serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Mencari bakat berkemahiran digital adalah keutamaan ketika ini. Transformasi digital tidak dapat dielakkan kerana pasaran tempatan bersifat lebih global.

“Namun terdapat kekurangan bekalan dalam pasaran pekerjaan kerana banyak organisasi sudah memulakan perjalanan transformasi digital mereka.

“Organisasi seharusnya memperkukuhkan kebolehan inovasi dan teknologi bagi memanfaatkan pertumbuhan dan memerlukan bakat berkemahiran untuk menyokong pertumbuhan perniagaan,” katanya pada sesi taklimat Prospek Pekerjaan 2019 Jobstreet.com di sini, semalam.

Kajian berkenaan dilakukan terhadap 20,343 calon berusia antara 18 hingga 60 tahun membabitkan 365 majikan.

Hasil kajian itu juga mendapati, aktiviti pengambilan pekerja akan lebih agresif pada sepatuh pertama 2019 dengan 90 peratus majikan meramalkan pengambilan paling ramai pada Januari hingga Mac diikuti April hingga Jun sebanyak 76 peratus.

“Ini trend tahunan kerana pekerja biasanya mendapat bonus awal tahun dan akan mencari peluang pekerjaan baharu,” kata Bock Herm.

Kaji selidik itu juga melaporkan, lima bidang utama berkaitan dengan kemahiran digital dikehendaki majikan ialah pemasaran digital, perisian dan pembangunan aplikasi, e-dagang, big data dan analisis serta kemahiran pangkalan data.

“Kira-kira 60 peratus majikan melaporkan mereka melaksanakan inisiatif transformasi digital, dengan antaranya memulakan pelbagai usaha manakala baki masih lagi di peringkat perancangan,” menurut kajian itu.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 12:00pm
d