bisnes

Misi perkukuh segmen halal

Oleh Nabil Basaruddin

Subang Jaya: Unclezam Holdings Bhd (UZ Food), syarikat pengeluar produk makanan sejuk beku akan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkukuh perniagaan segmen halal, seterusnya meneroka tawaran awam permulaan (IPO) pada 2022.

Optimis dengan sasaran untuk menyenaraikan syarikat terbabit, pihak syarikat juga berharap untuk menawarkan polisi dividen sehingga 50 peratus kepada pemegang sahamnya.

Pengarah dan Pengasasnya, Norizam Tukiman berkata, syarikat mempunyai pelbagai cabang operasi perniagaan seperti makanan dan minuman, perkhidmatan katering kapal terbang dan restoran mamak.

Beliau berkata, usaha untuk merealisasikan IPO bagi syarikat itu adalah penting dalam memastikan UZ Food mampu menjadi syarikat bernilai RM1 bilion, selain mempertingkatkan kepentingan pemegang saham.

“Bagi tahun ini, kami menyasarkan untuk mencapai jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM50 juta iaitu peningkatan yang lebih tinggi berbanding RM10 juta pada 2018.

“Kami akan melipatgandakan usaha dengan menyediakan katering kepada empat syarikat penerbangan sedia ada serta meninjau peluang lain daripada pemain lain.

“Lebih menarik lagi, kami juga akan meneroka segmen perniagaan burger di Johor dengan kekuatan jualan sehingga RM35 ke RM40 juta pada tahun ini,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Tambahnya, syarikat itu juga mempunyai aplikasi mudah alih khusus untuk peniaga burger iaitu burgerboy bagi membantu menguruskan rekod jualan, belanja serta boleh menempah stok daripada pihak UZ Food.

Selain itu, yakin dengan pasaran halal serta kepentingannya, Norizam berkata, pihaknya merancang membuka kilang memproses daging secara halal di Mongolia.

“Ia termasuk bagi mewujudkan rumah sembelihan lembu dan kambing di negara itu, seterusnya menghantarnya ke pasaran tempatan serta luar negara.

“Kami berharap ia dapat menjadi platform kepada syarikat untuk mengeksport daging halal ke negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan lebih mudah,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 2:39pm
d