bisnes

Pelantikan Presiden Bank Rakyat baharu sedang diteliti

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan (MED), kini sedang meniliti proses pelantikan Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat yang baharu bersama pihak berkaitan, termasuk Bank Negara Malaysia.

Ini berikutan Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas akan menamatkan perkhidmatannya pada 2 April 2019, serta semua jawatan lain yang disandang sejak menyertai bank itu pada 3 April 2017.

Dalam kenyataan dikeluarkan, MED berkata Bank Rakyat telah menunjukkan perkembangan positif di bawah hala tuju dan kepimpinan baharu Menteri MED, Datuk Seri Redzuan Yusof sejak beberapa bulan lalu.

“Perkembangan itu menunjukkan perubahan hala tuju positif Bank Rakyat, selaras komitmennya dalam memupuk kepercayaan dan ketelusan dalam operasi, seiring dengan keperluan pengawal seliaan terkini dan amalan terbaik global dalam industri perbankan,” katanya.

Sementara itu, Zulkiflee berkata Bank Rakyat telah mempelbagaikan produknya untuk semua lapisan pengguna.

“Sejak dua tahun lalu, kami berjaya mempelbagaikan produk, yang bukan sekadar memberi tumpuan kepada pembiayaan peribadi semata-mata, malah menawarkan produk pembiayaan runcit lain seperti perumahan, pendidikan, kenderaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan MED, lembaga pengarah dan semua pihak berkepentingan yang telah memberi sokongan dalam pelaksanaan peralihan starategi itu.

Pada 6 Disember lalu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengumumkan pelantikan bekas penasihat CIMB Islamic, Datuk Noripah Kamso sebagai Pengerusi Bank Rakyat yang baharu.

Beliau menggantikan Tan Sri Shukry Mohd Salleh yang disingkirkan serta merta daripada jawatan itu pada November 2018 berikutan terbabit dalam isu Laporan Asal Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 3:42pm
d