bisnes

MyTOWN sasar kadar penghunian 95%

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Boustead Ikano Sdn Bhd yakin kadar penghunian pusat beli-belah MyTOWN di Cheras akan meningkat kepada 95 peratus menjelang Mei depan berbanding 92 peratus pada masa ini walaupun berdepan persaingan sengit daripada pusat beli-belah lain.

Boustead Ikano adalah usaha sama antara Boustead Holdings Bhd dan Ikano Retail Asia manakala MYTOWN dibangunkan Boustead Holdings dan Ikano Pte Ltd.

Pengurus Boustead Ikano Centre Mohd Azhan Che Mat berkata, syarikat itu kini meneliti beberapa lagi urus niaga dengan penyewa baharu manakala penyewa sedia ada kekal di premis masing-masing sehingga sewaan mereka diperbaharui pada 2020.

Beliau berkata, walaupun MyTOWN tidak sebesar Pavilion Kuala Lumpur atau menawarkan ruang pejabat seperti Sunway Velocity Mall dan EkoCheras Mall serta bakal berdepan saingan Tun Razak Exchange pada 2020, ia bernasib baik berikut kehadiran gedung perabot dan kelengkapan rumah terkemuka, IKEA sebagai penyewa utama yang turut menjadi rangkaian perabot terbesar di ibu negara.

“Kami mempunyai 15 penyewa yang menawarkan produk khusus yang dijual di pusat beli-belah selain restoran Gajah Mada, Makmal Burger dan Monster Mighty.

“Pusat beli-belah ini memiliki tarikan VAR Live Malaysia yang juga taman tema realiti maya (VR) terbesar di Malaysia dan EnerG X Park iaitu taman ekstrem dalaman terbesar di Asia.

“Anda tidak dapat menemui tarikan itu di pusat beli-belah lain. Ia menjadikan kami unik di mata pelanggan,” katanya.

Mohd Azhan berkata, jualan di pusat beli-belah itu juga dijangka meningkat antara 22 hingga 25 peratus tahun ini, seiring dengan pertambahan jumlah kehadiran pelanggan individu yang bertambah sebanyak 45 peratus pada suku keempat 2018 berbanding suku kedua dan ketiga.

Beliau berkata, MyTOWN turut menyasarkan kenaikan 10 hingga 12 peratus jumlah kehadiran pelanggan individu kerana lokasinya yang berhampiran stesen Aliran Transit Massa (MRT) Cochrane selain peningkatan aktiviti pengiklanan pada gerabak MRT.

Mohd Azhan bagaimanapun tidak mendedahkan nilai jualan yang dicatat pada tahun lalu.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 4:01am
d