bisnes

Top5 terima permintaan tinggi

Oleh Zaitie Satibi

Kuala Lumpur: SR Asia Resources Sdn Bhd (SR Asia), syarikat Bumiputera yang mengeluarkan produk pencuci jenama Top5 merancang untuk mempertingkatkan kapasiti pengeluaran rangkaian pencucinya kepada 85,000 unit sebulan melalui pelaburan bernilai RM25 juta menjelang 2020.

Pengarahnya, Mohd Syukri Ibhrim berkata, pelaburan yang bakal membabitkan aspek jentera dan premis itu adalah inisiatif yang digariskan melalui pelan pengembangan syarikat bagi menaikkan lagi jenama Top5 dalam pasaran tempatan di samping menambah penguasaan pasaran pada masa depan.

“Pelaburan ini akan menyaksikan syarikat memindahkan operasi pengeluaran dari Puncak Alam ke kilang baru di Ijok, Selangor. Syarikat juga akan menggunakan mesin automatik berteknologi tinggi bagi meningkatkan kelajuan pengeluaran berbanding sebelum ini yang dilakukan secara manual.

“Langkah ini dapat membantu kami dalam meningkatkatkan pengeluaran produk pencuci syarikat kepada 70 peratus dalam tempoh terbabit berbanding 50,000 unit sebulan pada masa ini,” katanya.

Rangkaian pencuci Top5 mula berada di pasaran sejak empat tahun lalu dan produk itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penggunanya kerana ia adalah produk tiga dalam satu yang berfungsi sebagai pencuci, pelembut dan pewangi.

Terdiri daripada lebih 30 jenis bauan yang menampilkan wangian yang berpanjangan dan anti bakteria, Top5 yang dijual 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran menggunakan bahan diimport dari Itali, Korea, Perancis, Taiwan dan Singapura.

Mohd Syukri berkata, syarikat turut memerlukan sokongan yang baik daripada rangkaian pemasarannya apabila berhasrat menambah bilangan stokis kepada 50 orang tahun ini berbanding hanya 35 orang pada ketika ini.

“Kami optimis sasaran ini mampu dicapai hasil kerjasama syarikat bersama Agrobank yang dijalin Oktober tahun lalu yang memberi peluang kepada orang ramai menjadi usahawan menerusi pinjaman bermula serendah RM1,000 hingga RM50,000 untuk menjadi stokis Top5,” katanya.

Katanya, Top5 mendapat permintaan tinggi dalam industri dobi layan diri yang mencakupi hampir 50 peratus jumlah keseluruhan jualan syarikat, disusuli pengguna isi rumah sebanyak 35 peratus, manakala selebihnya membabitkan pembersihan pejabat, pusat cuci kenderaan, hospital dan lain-lain.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 1:44pm
d