bisnes

Aliran masuk dana asing RM479 juta

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Aliran masuk bersih dana asing ke dalam negara ini mencecah RM479.6 juta setakat 24 Januari lalu, sekali gus mengatasi jumlah aliran minggu terdahulu RM471.3 juta.

Menurut pakar ekonomi, institusi dana asing muncul pembeli bersih dengan mencatat RM293 juta berbanding RM417 juta pada minggu sebelum ini.

Malah, perkembangan positif itu menunjukkan saham Malaysia mencatat nilai lebih baik di tengah jangkaan kenaikan kadar faedah yang semakin reda di Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

“Minggu ini (lalu) dimulakan dengan nada lebih suram. Ini berikutan kehadiran faktor seperti (data) ekonomi China bagi suku keempat 2018 yang kurang memberangsangkan, semakan semula unjuran pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), impak berterusan rundingan perdagangan antara Washington-Beijing serta kesan Brexit di United Kingdom (UK) yang menyebabkan ketidaktentuan di pasaran,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, pada masa ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak sekitar paras rintangan pada 1,700 mata walaupun terbukti cuba melepasi tahap itu khususnya pada awal minggu lalu.

“Bagi minggu depan (ini), kami menjangkakan pasaran kekal suram berikutan perkembangan isu Brexit, rundingan dagangan Amerika Syarikat-China serta mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada 30 Januari yang akan dipantau secara teliti oleh pasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter Pacific Research Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata, pasaran negara sedang pesat membangun menyaksikan kemunculan semula minat pelabur antarabangsa selepas Rizab Persekutuan AS memutuskan untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah manakala kesan Brexit yang tidak menentu itu terbukti memberi manfaat kepada kawasan lain.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 5:07pm
d