bisnes

Grab cipta 400 kerja

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: Grab melancarkan Pusat Serantau Kecemerlangan (RCoE) dan Pusat Kajian dan Pembangunan (R&D) di Malaysia sekali gus mencipta kira-kira 400 peluang pekerjaan baharu.

Pengarah Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata, RCoE yang mempunyai keluasan 54,000 kaki persegi itu mampu menempatkan lebih 1,000 kakitangan.

Katanya, RCoE dan pusat R&D itu akan memberi fokus kepada operasi Grab yang kini berkembang di lapan negara membabitkan 336 bandar utama.

“Grab sentiasa memperuntukkan pelaburan bagi membangunkan strategi perniagaan dan operasinya yang memberi pengalaman terbaik pelanggan serta menawarkan peluang menjana pendapatan kepada rakyat di negara ini.

“Kami juga mahu bekerjasama lebih rapat dengan kerajaan Malaysia untuk membina peraturan dan polisi yang memberi situasi menang-menang bagi membolehkan perkhidmatan terbaik ditawarkan kepada populasi yang besar di Malaysia,” katanya di majlis pelancaran RCoE di sini, semalam.

Hadir merasmikan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking.

RCoE akan memfokus kepada fungsi operasi dan strategi perniagaan utama Grab termasuk undang-undang, pengalaman pelanggan, perkhidmatan kewangan dan kreatif.

Manakala, Pusat R&D akan menumpukan kepada pembangunan kepercayaan dan penyelesaian keselamatan.

Grab turut mengendalikan enam lagi pusat R&D di Singapura, Seattle, Bangalore, Ho Chi Minh dan Jakarta.

Sehingga kini, Grab membuat pelaburan mencecah AS$6.8 bilion sejak 2014 dengan pelaburan yang terbesar dicatatkan pada Julai tahun lalu dengan nilai AS$2.9 bilion.

Syarikat juga dijangka membuat beberapa pengambilalihan tahun ini sebagai sebahagian daripada pelan pertumbuhannya.

Grab yang berpengkalan di Singapura itu menawarkan perkhidmatan untuk rantau ini termasuk di Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Kemboja.

Sementara itu, Darell berkata, Malaysia mempunyai banyak kelebihan yang diperlukan oleh syarikat global bagi meluaskan perkhidmatan mereka terutama di Asia Tenggara.

“Ruang lebih luas menjadi aset utama negara dan menjadi faktor utama kebanyakan industri memilih untuk beroperasi di Malaysia kerana mereka menyukai persekitaran kita.

“Kami menerima banyak permintaan yang ingin melabur di Malaysia, malah insentif dan kos yang ditawarkan oleh Malaysia menarik syarikat global ini meluaskan operasi di sini,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 10:38am
d