bisnes

Cadang buka 15 stesen baharu

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Berhad (PDB) merancang membuka 15 lagi stesen Petronas baharu pada tahun ini dengan lokasi bertumpu di kawasan yang memiliki jumlah trafik yang tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pada masa ini jumlah keseluruhan stesen Petronas sedia ada iaitu sebanyak 1,053 cawangan dilihat mencukupi untuk memberi liputan terbaik kepada pengguna di seluruh negara.

“Bagaimanapun, kami sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan pertumbuhan dan meluaskan rangkaian bagi mengukuhkan kedudukan di pasaran negara ini dan pembukaan cawangan adalah salah satu daripada strategi kami,” katanya kepada media ketika majlis pelancaran Primax 95 Baharu dengan Pro-Drive, semalam.

Bahan api terbaharu Petronas itu menawarkan pemanduan lancar, prestasi enjin responsif dan kecekapan bahan api lebih baik.

Beliau berkata, 2019 juga bakal menyaksikan PDB meneruskan perancangannya untuk menaik taraf stesen Petronas sedia ada kepada reka bentuk baru yang lebih eksklusif dan menarik.

“Sebelum ini, kami sudah menaik taraf 115 stesen Petronas sedia ada dengan reka bentuk baharu yang mendapat maklum balas baik di kalangan pelanggan.

“Untuk tahun ini, kami merancang untuk menaik taraf lebih 600 stesen Petronas di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, PDB dijangka memperluas perkhidmatan Setel iaitu aplikasi pintar bayaran tanpa tunai pertama di Asia Tenggara kepada 268 stesen Petronas di Lembah Klang menjelang Mac depan bersempena pelancaran rasmi aplikasi itu.

“Pada ketika ini, perkhidmatan Setel hanya boleh didapati melalui 108 stesen Petronas saja dan pada tahun depan, kami akan memperluas ke seluruh negara di mana ia akan membabitkan 690 stesen Petronas seluruh negara,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 9:59am
d