bisnes

Fokus kecekapan

Oleh Nabil Basaruddin

Serdang: Petronas Dagangan Bhd (PDB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM400 juta pada tahun ini sebagai langkah untuk memperkukuh dan melicinkan pengurusan operasinya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, peruntukan berkenaan adalah membabitkan pembukaan stesen Petronas yang baharu dan pelan menaik taraf fasiliti yang dimiliki syarikat.

“Selain itu, capex itu juga akan digunakan bagi membangunkan dan meningkatkan infrasktruktur digital dalam bahagian teknologi maklumat (IT).

“Peruntukan capex pada tahun ini adalah sama seperti tahun sebelumnya yang akan memfokus kepada kecekapan kami sebagai syarikat pemasaran domestik utama bagi Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS),” katanya selepas majlis pelancaran Kempen PETRONAS Coffee Break dan National Safest Driver Challenge sempena Tahun Baru Cina, semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Kempen tahunan itu bermula dari 2 hingga 3 Februari dan 9 hingga 10 Februari ini yang mana pengguna lebuh raya boleh mendapatkan kopi dan snek percuma di 150 stesen Petronas terpilih seluruh Malaysia.

Bagi pengguna lebuh raya yang menyertai cabaran National Safest Driver pula, dua pemenang berpeluang menerima 100,000 mata ganjaran Mesra yang bersamaan RM1,000, kredit Touch ‘n Go bernilai RM1,000 dan 10,000 mata ganjaran PLUSMiles.

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 8:24am
d