bisnes

Kejayaan Odyssey

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Media Prima Bhd (MPB), kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia dijangka kembali mencatatkan keuntungan menerusi pelaksanaan strategi Odyssey dengan meningkatkan sumbangan platform digital berbanding media tradisional.

Untuk mencapai matlamat ini, MPB akan mengeksploitasi platform media seperti televisyen, radio, media cetak dan pengiklanan luar rumah untuk membuka sasaran audien yang lebih luas.

REV Asia adalah bagi memenuhi media moden dengan jenama popular seperti SAYS, OhBulan!, Rojaklah, Viral Cham, 8coin, Sirap Limau, MyResipi, Kongsi Resipi, JUICE, The Vocket, Mashable Southeast Asia dan TanTanNews.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Khairul Azizi Kairudin berkata, syarikat itu percaya dengan kelebihan daya saingnya melalui capaian audien yang lebih meluas, ia dapat membuka jalan untuk meraih keuntungan.

Katanya, kerugian diunjurkan dapat dikurangkan melalui pelbagai inisiatif dan MPB akan memanfaatkan Odyssey untuk mencapai sumbangan yang lebih tinggi dari segmen digital bagi mengurangkan hasil yang menurun dari platform media tradisional.

“Dengan Odyssey, MPB menyasarkan platform digital menyumbang sebanyak 20 peratus kepada perolehan keseluruhan.

“Bagi mencapainya, syarikat itu percaya platform media tradisionalnya mampu menawarkan peluang yang dapat meningkatkan sasaran digital seperti tonton yang dapat mencapai tontonan meluas melalui YouTube.

“Malah, akhbar di bawah MPB menawarkan pembacaan atas talian melalui laman web serta aplikasi mudah alih selain radio yang mempunyai penstriman untuk podcast,” katanya dalam nota penyelidikan.

Syarikat media itu berhasrat untuk mengembangkan perolehan bukan iklan dari 20 kepada 40 peratus dan perolehan digital dari lima kepada 20 peratus menjelang 2020.

Khairul Azizi berkata, menerusi strategi pendigitalan juga, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) berkembang kepada 19 juta pelawat unik.

“Ripple yang dijenamakan semula dari Media Prima Radio Network berjaya mewujudkan segmen bertepatan yang membolehkan penyelesaian khusus bagi pengiklan untuk mencapai pelbagai tumpuan sasaran,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihak produksi dalaman syarikat media itu turut menjalin kerjasama strategik bersama pemain over-the-top (OTT) seperti Netflix dan Dailymotion bagi menyiarkan kandungan Media Prima.

“Ini membuktikan MPB menyedari kepentingan kandungan kreatif, malah siri animasi yang dihasilkan Primeworks Studios, Ejen Ali mula mendapat tempat dalam kalangan negara jiran dan ditayangkan di 45 negara,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 11:28am
d