bisnes

Biaya RM2.15b

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

Kuala Lumpur: Pemaju pembangunan terkemuka Australia, Lendlease dan TRX City Sdn Bhd (TRX City) memeterai perjanjian pembiayaan bernilai RM2.15 bilion dengan empat bank global bagi membiayai sebahagian daripada pembangunan The Exchange TRX yang sebelum ini dikenali sebagai Lifestyle Quarter.

Empat bank terbabit adalah Hongkong and Shanghai Banking Corporation (HSBC), Standard Chartered Bank (SBC), Sumitomo Mitsui Banking Corporation (SMBC) dan Malayan Banking Bhd (Maybank).

The Exchange TRX adalah blok pembangunan seluas 6.88 hektar merangkumi bangunan hotel, pejabat, ruang runcit serta bangunan residen.

Ia adalah sebahagian daripada projek mega Tun Razak Exchange (TRX) yang dijangka menjadi pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa apabila siap sepenuhnya kelak.

Ketua Eksekutif Lendlease Asia, Tony Lombardo berkata, kejayaan memeterai kemudahan pembiayaan itu mencerminkan keyakinan pelabur dan pihak bank terhadap projek pembangunan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan masa depan yang ada di negara ini dan menghargai usaha kerajaan untuk merealisasikan projek yang menjadi mercu tanda ibu kota Kuala Lumpur itu.

“Ini adalah projek keutamaan global bagi Lendlease dan kerjasama dengan TRX City membolehkan kami membawa kepakaran tempatan dan antarabangsa bagi projek ini,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai kemudahan pembiayaan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Ia disaksikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Hadir sama, Ketua Eksekutif TRX City, Datuk Azmar Talib dan Pengerusi Lendlease Malaysia, Dinesh Nambiar.

Mengulas lanjut, Lombardo berkata, pada masa ini, kerja cerucuk dan bidur tanah di projek berkenaan sudah siap 90 peratus.

“Kami menjangkakan tiga komponen utama dalam blok ini iaitu hotel, ruang pejabat dan runcit akan siap sepenuhnya pada 2022. Selain itu, kami juga menyasar untuk melancarkan projek bangunan residen pada tahun ini dan ia dijangka mengambil masa empat tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Azmar berkata, tahun ini akan menjadi tahun bersejarah buat TRX kerana ia akan membuka operasi kepada penyewa pertamanya pada suku kedua tahun ini.

“The Exchange TRX mempunyai semua komponen untuk membantu melonjakkan pembangunan TRX menjadi wilayah kewangan bertaraf dunia. Ia akan menjadi destinasi yang inklusif dan berteraskan gaya hidup bandar,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 9:47am
d