bisnes

Pikat jemaah Asia Tenggara

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Sepang: Amal, penyedia perkhidmatan sewa khas untuk haji dan umrah di bawah kendalian Malaysia Airlines meletakkan sasaran untuk menjadi penyedia perkhidmatan utama di Asia Tenggara khususnya di laluan yang tidak mendapat akses terus ke Arab Saudi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, Amal menyediakan perkhidmatan membawa jemaah haji atau umrah dengan servis dalam penerbangan yang lebih berkualiti.

“Sebelum ini ada perkhidmatan seumpama ini yang kurang memuaskan terutama berkaitan layanan kru penerbangan atau makanan yang disediakan.

“Namun melalui Amal, kami akan menyediakan perkhidmatan lebih baik dengan visi kami untuk memastikan perjalanan mereka melaksanakan ibadah bermula dari dalam penerbangan dan bukannya selepas tiba di destinasi yang dituju,” katanya.

Menurutnya, selain perkhidmatan untuk jemaah Malaysia, pihaknya turut menawarkan penerbangan bagi jemaah dari Indonesia dan Thailand.

“Bagi pasaran Malaysia, kami mencapai sehingga 50 peratus penguasaan pasaran dan meletakkan sasaran untuk mencapai 60 peratus penguasaan dalam tempoh dua tahun.

“Selain Malaysia, kami melihat potensi tinggi bagi jemaah dari Indonesia khususnya mereka yang datang dari Sumatera memandangkan perjalanan yang diambil dari lokasi berkenaan ke Arab Saudi memakan masa lebih lama.

“Kami juga menyasarkan untuk menembusi 10 peratus pasaran di Indonesia daripada hampir sejuta jemaah umrah dan haji yang dicatatkan setiap tahun,” katanya selepas majlis pelancaran Amal di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, Kapten Izham Ismail.

Hazman berkata, selain Malaysia dan Indonesia, Amal turut meneroka pasaran bagi jemaah haji dan umrah dari Thailand memandangkan setakat ini, belum ada perkhidmatan penerbangan terus ke Arab Saudi.

“Jemaah dari Thailand adalah sekitar 13,000 setiap tahun, namun kami melihat potensi tinggi bagi pasaran ini.

“Sebagai contoh, jemaah dari Pattani perlu mengambil penerbangan berasingan ke Hatyai, Bangkok dan Dubai atau Oman sebelum sampai ke Arab saudi.

“Ia mungkin mengambil masa sehingga dua hari. Berbeza dengan penerbangan yang diambil menggunakan perkhidmatan Amal iaitu mereka hanya perlu ke Kuala Lumpur dan terus ke Arab Saudi,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan lima agensi penyedia perkhidmatan haji dan umrah berskala besar dan 30 agensi kecil.

Setakat ini, empat pesawat jenis A380-800 digunakan bagi membawa jemaah haji dan umrah pada musim puncak dengan tiga penerbangan sehari.

Pelbagai keistimewaan khidmat Amal termasuk talbiyah dalam pesawat.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 12:40pm
d