bisnes

Langkah perkukuh ekonomi negara

Oleh Mahanum Abdul Aziz dan Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia mencadangkan beberapa langkah jangka pendek dan panjang yang boleh diberi perhatian oleh Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negara ini.

Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, antara langkah yang boleh dilaksanakan adalah memastikan pengembalian semula pelaburan swasta, menangani isu kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan di negara ini.

Beliau berkata, terdapat banyak langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk mengembalikan semula pelaburan swasta seperti melihat rangka kerja insentif penggalakan pelaburan ketika ini sama ada ia berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang betul.

Dari segi isu struktur pula, jelasnya, majlis berkenaan boleh melihat bagaimana hendak meningkatkan pendapatan golongan B40 dengan mencadangkan ia boleh dilaksanakan menerusi pengurangan pergantungan kepada pekerja asing, meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan melahirkan graduan yang menepati kehendak industri.

“Kos sara hidup perlu ditangani dalam dua bahagian iaitu berkaitan kos itu sendiri dan meningkatkan pendapatan,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2018 di sini, semalam.

Nor Shamsiah berkata, MTE adalah platform mengumpul input yang lebih berstruktur daripada sektor korporat dan komuniti perniagaan bagi membantu kerajaan menggubal dasar ekonomi jangka panjang.

Beliau berkata, Bank Negara sentiasa berhubung secara rapat dengan kerajaan menerusi banyak platform.

Pada awal minggu ini, kerajaan mengumumkan penubuhan MTE yang dianggotai 16 tokoh dan dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat terhadap masalah dihadapi mereka, khususnya dalam bidang ekonomi.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 11:31am
d