bisnes

8,000 produk kelengkapan rumah ditawarkan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

GEDUNG baharu IKEA Malaysia di Bandar Cassia, Batu Kawan, kini pada fasa akhir persiapan sebelum pembukaan rasminya pada 14 Mac depan.

Gedung IKEA pertama di wilayah utara itu bakal memperkenalkan gaya baharu berkonsepkan ‘Kehidupan di Rumah’ kepada ribuan pelanggan setianya.

Pengurus Stor, A Pathmalingam berkata, IKEA menawarkan lebih 8,000 produk kelengkapan rumah di bawah satu bumbung.

Katanya, cawangan keempat di Malaysia itu dilengkapi 49 ruang pameran merentasi 470,135 kaki persegi (43,667 meter persegi) dan memberi sentuhan tempatan sepadan dengan ruang kehidupan penduduk di Pulau Pinang dan wilayah utara.

“Gedung kami di Damansara Utama, Kuala Lumpur menerima kunjungan sehingga 100,000 pengunjung seminggu dan lapan peratus daripadanya pelanggan dari Pulau Pinang.

“Pada permulaan pembukaannya nanti, kami menyasarkan seramai 50,000 pengunjung dari wilayah utara datang ke sini,” katanya kepada media, semalam.

Pathmalingam ditemui pada majlis pratonton produk eksklusif IKEA dan pelancaran kiraan detik pembukaan gedung berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Stor, Gordon Wimalasiri.

Sementara itu, Pathmalingam berkata, pelanggan boleh mendapatkan barangan diingini menerusi pembelian dalam talian IKEA yang sudah dilancarkan sejak Oktober tahun lalu.

“Walaupun begitu, kami ingin memberi keselesaan kepada pelanggan dengan memberi pengalaman membeli-belah di gedung baharu ini.

“IKEA Batu Kawan memuatkan bakeri, restoran dengan kapasiti 756 tempat duduk dan 1,950 parkir serta terletak di lokasi strategik berhampiran Jambatan Kedua, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 12:03am
d