bisnes

Malindo Air perkenal berat bagasi 15kg, 30kg

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

KUALA LUMPUR: Malindo Air memperkenalkan peruntukan baharu berat bagasi, 15 kilogram (kg) dan 30kg masing-masing bagi penumpang kelas ekonomi menerusi opsyen tambang Nilai dan Fleksi, daripada 25kg sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy dalam kenyataan berkata, pelarasan itu berkuat kuasa pada 15 Februari 2019.

“Peruntukan bagasi bagi kelas perniagaan dan penerbangan ATR masing-masing kekal pada 40kg dan 15kg.

“Ia dibuat selaras dengan perubahan dalam industri serta permintaan penumpang.

“Opsyen ini membolehkan penumpang yang mementingkan kos memperoleh tambang udara yang lebih kompetitif dan memenuhi keperluan mereka.

“Kami mahu produk kami relevan kepada pasaran dan menawarkan pengalaman penerbangan yang lebih baik kepada penumpang kami,” katanya.

Menurutnya, penumpang yang sudah menempah sebelum dan pada tarikh perjalanan pada 15 Februari 2019 dibenarkan untuk membawa bagasi dengan muatan asal seperti yang dinyatakan dalam jadual penerbangan.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 9:22am
d