bisnes

Identiti baharu CCM Duopharma

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: CCM Duopharma Biotech Bhd (CCM Duopharma) mengumumkan identiti korporat baharu membabitkan pertukaran nama syarikat kepada Duopharma Biotech Bhd selari dengan aktiviti penjenamaan semulanya.

Pelaksanaan itu diadakan berikutan syarikat itu berpisah daripada syarikat induk iaitu Chemical Company of Malaysia Bhd pada Disember 2017 dengan diberi tempoh sehingga 2019 untuk merealisasikannya.

Pengarah Urusan Kumpulan CCM Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, syarikat sudah mendapat kelulusan daripada pemegang saham untuk menukar nama dan logo baharu sebagai sebahagian daripada inisiatif penjenamaannya.

“Inisiatif ini bagi melengkapi misi untuk menerajui pembangunan dan menawarkan terapi perubatan baharu yang sangat diperlukan untuk menambah baik kesihatan awam serta meluaskan jejak di pasaran baharu di dalam dan luar ASEAN,” katanya selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa syarikat itu di sini, semalam.

CCM Duopharma adalah pengeluar farmaseutikal terkemuka di Malaysia dan pemain serantau utama yang terbabit dalam aspek pembangunan, pembuatan dan pemasaran ubat-ubatan generik serta produk penjagaan kesihatan berjenama.

Beliau berkata, 2019 akan menyaksikan syarikat itu memberi fokus kepada pengenalan produk baharu bagi segmen produk Biosimilar dan Erythropoietin (EPO) di samping merancang pembukaan fasiliti pembuatan onkologi pertama di Malaysia pada suku ketiga tahun yang sama.

Menurutnya, syarikat merancang untuk melancarkan produk EPO dikenali Erysaa dengan kerjasama syarikat Korea pada April ini selepas mendaftarkannya pada awal tahun ini dan mengadakan ujian klinikal pada suku pertama tahun lalu.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 10:50am
d