bisnes

MTD Capital mengikut jadual

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

PUTRAJAYA: MTD Capital Bhd sudah menyiapkan 55 peratus projek pembangunan Fasa 1A pusat pentadbiran baharu kerajaan Filipina, New Clark City bernilai kira-kira RM1 bilion.

Ia sekali gus mengukuhkan lagi keupayaan MTD Capital, anak syarikat MTD Group iaitu konglomerat pembinaan yang terbabit projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MTD Capital, Tee Kim Siew berkata, Fasa 1A seluas 40 hektar yang mula dibangunkan pada Mac tahun lalu kini dalam jadual untuk disiapkan sepenuhnya mengikut jadual ditetapkan iaitu pada 15 Oktober ini.

Katanya, pihaknya yakin projek itu mampu disiapkan mengikut jadual ditetapkan bagi membolehkan ia diserahkan kepada pihak berkuasa 45 hari sebelum penganjuran Sukan SEA yang akan berlangsung pada 30 November ini.

“Kami telah mengambil kira semua faktor dan cabaran yang mungkin akan dihadapi sepanjang pembinaan projek ini termasuk musim hujan pada bulan April dan Mei ini yang boleh mengganggu perjalanan kerja projek ini.

“Jika tiada sebarang perkara di luar jangkaan berlaku, kami yakin mampu menyiapkan dan menyerahkan projek ini kepada pihak berkuasa pada 15 Oktober ini,” katanya pada taklimat meja bulat mengenai perkembangan terbaharu projek itu di sini, semalam.

Pada Januari 2018, MTD Capital mengumumkan akan membangunkan sebahagian daripada pusat pentadbiran kerajaan di atas tapak berkeluasan 60 hektar di di New Clark City, Filipina yang bernilai kira-kira RM1.8 bilion.

Projek yang mirip dengan Putrajaya itu terbahagi kepada dua fasa iaitu 1A dan 1B dan adalah sebahagian daripada keseluruhan pembangunan berkeluasan 9,450 hektar di New Clark City.

Mengulas lanjut, Tee berkata, Fasa 1A akan mengandungi pembinaan berkaitan sukan dan bukan sukan termasuk sebuah stadium berkapasiti 20,000 tempat duduk yang turut dilengkapi trek larian 400 meter dan sebuah pusat akuatik dengan 2,000 tempat duduk.

Selain itu, katanya ia akan turut mempunyai dua bangunan kerajaan setinggi tujuh tingkat, pusat operasi bersepadu, perkampungan atlet, perumahan kerajaan dan taman.

“Bagi projek Fasa 1B yang berkeluasan 20 hektar dan bernilai kira-kira RM800 juta, ia akan mula dibangunkan pada awal tahun depan dan dijangka siap pada tahun 2022,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan projek pembangunan bercampur syarikat itu di London iaitu One Crown Place, Tee berkata, sebanyak 110 unit kediaman apartmen telah terjual daripada 246 unit sedia ada.

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) 500 juta pound (RM2.65 bilion) itu turut mengandungi 136,000 kaki persegi (kps) ruang pejabat, 7,000 kps ruang runcit dan hotel butik dengan 41 bilik.

MTD Capital pada September tahun lalu berjaya meraih pembiayaan bernilai RM1.5 bilion daripada dana pencen terbesar Australia, Australian Super dan satu daripada pengurus pelaburan hartanah terbesar dunia, TH Real State bagi pembangunan One Crown Place.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 11:06am
d