bisnes

Pikat pelaburan RM375 juta

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corp) optimis sektor berasaskan bio dapat menarik pelaburan RM375 juta menerusi penganjuran BioUsahawan 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain berkata, sebagai agensi utama industri agro dan bio di Malaysia, pihaknya komited memacu sektor terbabit ke arah kualiti yang lebih berdaya saing.

“BioUsahawan 2019 yang akan diadakan pada 15 dan 16 Mac depan turut menampilkan sesi padanan perniagaan dan setakat ini kami telah mengenal pasti lebih kurang 11 pelabur asing yang berminat untuk melabur dalam industri berasaskan bio tempatan.

“Pelabur asing berkenaan adalah dari negara Taiwan, India, Thailand dan Indonesia.

“Bagaimanapun, kami percaya kita akan menerima lebih banyak lagi pelabur,” katanya kepada media selepas prataklimat BioUsahawan 2019 di sini, semalam.

BioUsahawan 2019 adalah pameran yang julung kali diadakan dalam usaha menyediakan platform strategik bagi usahawan tempatan, syarikat permulaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat untuk berdagang serta mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka terutama dalam sektor agro dan bio.

Mohd Shuhaizam berkata, Bioeconomy Corp juga berusaha meningkatkan jumlah pelaburan swasta dalam pertanian komersil, memperluas saiz pasaran dan mencipta tenaga kerja terutamanya bagi usahawan muda dan industri tempatan berkembang maju.

Beliau berkata, mengenai peranan Bioeconomy Corp dalam memacu pertumbuhan sektor pertanian dan asas tani pula, pihaknya komited menyumbang ke arah sasaran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk meraih hasil jualan bernilai RM900 juta tahun ini.

“Kami akan menumpukan usaha ke arah menggalakkan aplikasi teknologi untuk meningkatkan produktiviti dalam aktivit pertanian, terutama bagi beras, akuakultur dan bahan mentah serta mengurangkan pergantungan dalam import input pertanian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden dan Pengurus Projek BioUsahawan 2019, A’zlan Abdul Kadir berkata, pihaknya menjangkakan lebih 10,000 pengunjung akan hadir ke BioUsahawan 2019 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 10:21am
d