bisnes

Tukar minyak pelincir di bengkel bergerak

Oleh Lizam Ridzuan

PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat Petronas Dagangan Berhad (PDB) memperkenalkan bengkel motosikal bergerak yang pertama seumpamanya di negara ini.

Bengkel dengan konsep cepat dan santai itu menawarkan khidmat penukaran minyak pelincir motosikal daripada Petronas Sprinta yang akan menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata, bengkel daripada kontena bersaiz 20 kaki itu diubahsuai dengan imej yang lebih terkini dan bergaya.

“Ia memberi kemudahan dan pengalaman baru dalam suasana santai dan proses penukaran minyak pelincir hanya mengambil masa sekitar lapan minit saja,” katanya pada majlis perasmian bengkel bergerak itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada acara sama Petronas juga mengumumkan peraduan Petronas Sprinta Bonanza 2019 yang akan bermula dari 11 Mac hingga 30 September 2019 yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM300,000 termasuk hadiah utama sportsbike Yamaha R6 yang ditukar wajah seperti pasukan MotoGP, Petronas Yamaha SRT.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 6:02pm
d