bisnes

Pelaburan digital Media Prima berhasil

Oleh Azzman Abdul Jamal

MEDIA Prima Bhd, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, mencatatkan keuntungan selepas cukai RM59 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, berbanding kerugian RM668.7 juta pada tahun sebelumnya.

Keuntungan itu dicapai menerusi kejayaan kepelbagaian perolehan selain strategi meringankan aset selari dengan misi transformasi kumpulan.

Prestasi memberangsangkan itu disumbangkan oleh keuntungan sekali menerusi penyelesaian perjanjian jualan dan pajak semula berjumlah RM133.1 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kamal Khalid berkata, prestasi kukuh itu juga menunjukkan inisiatif transformasi mula meningkatkan margin kumpulan dan mengimbangi kerugian daripada segmen tradisional.

“Jika dikecualikan perkara luar biasa, kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai yang lebih rendah sebanyak 42 peratus.

“Kami percaya dengan operasi sebagai kumpulan aset ringan dan pada masa sama sebagai peserta utama dalam landskap tradisional dan digital, ia memberi kami lebih ketangkasan dan daya saing untuk berkembang pantas dalam sektor pertumbuhan utama,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, ketika industri media terus berdepan dengan cabaran akibat lanskap ekonomi semasa, pelaburan digital dan perdagangan Media Prima merekodkan pertumbuhan positif dalam 2018.

Perolehan digital dan perdagangan pada tahun kewangan meningkat 76 peratus kepada RM301 juta dan ini mengimbangi penurunan perolehan daripada segmen perniagaan tradisional seperti dicatatkan oleh prestasi kewangan Media Prima yang lebih baik pada tahun itu.

Perolehan kumpulan menyusut satu peratus pada 2018, berbanding penurunan tujuh peratus pada 2017.

Pencapaian dan perolehan pengiklanan digital terus berkembang di seluruh platform Media Prima.

Perolehan digital meningkat kepada RM87.9 juta dalam tahun kewangan 2018 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sebelumnya, menekankan kejayaan dalam strategi digital yang meliputi kerjasama pintar dan pengambilalihan strategik.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 7:19pm
d