bisnes

Lebih 200,000 pembayar cukai sukarela tampil

Oleh Nabil Basaruddin

SERAMAI lebih 200,000 pembayar cukai dari semua kategori tampil mengisytihar pendapatan secara sukarela kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) setakat ini.

Program itu bertujuan menggalakkan pembayar cukai untuk membuat pengakuan mengenai pendapatan dengan sukarela di mana-mana pejabat LHDN seluruh negara bermula 3 November 2018 hingga 30 Jun 2019.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, pihaknya menyasarkan untuk mencapai sejuta pembayar cukai untuk melaksanakan tanggungjawab ini yang akan diterima secara suci hati.

Beliau berkata, pihaknya juga dalam proses menghantar surat dan emel kepada lebih tujuh juta pembayar cukai berdaftar bagi memberi penjelasan mengenai program ini.

“Individu dan perniagaan perlu mengambil peluang yang ditawarkan oleh LHDN kerana melepasi tempoh yang kita sediakan, pembayar cukai berpotensi besar untuk dikenakan penalti sehingga 80 peratus daripada jumlah pendapatan.

“Pihak LHDN juga tidak akan menjalankan semakan lanjut mengenai pengakuan sukarela bagi tahun taksiran yang berkaitan dengan individu atau pembayar cukai yang sukarela tampil membuat pengakuan pendapatan,” katanya pada sidang media selepas Seminar LHDN dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) di Petaling Jaya, hari ini.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 7:25pm
d