bisnes

Rasionalisasi pelaburan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) melaksanakan kajian daya maju setiap syarikat pelaburannya bagi menilai semula rasionalisasi di sebalik pelaburan MARA.

Pengerusinya, Dr Hasnita Hashim berkata, MARA bersedia mengambil keputusan sukar termasuk menutup syarikat pelaburannya yang dilihat merugikan dan tidak berdaya saing.

“Memang terdapat beberapa pelaburan yang berjaya tapi melihat kepada apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini kami dapati pelaburan bukan bidang kepakaran MARA, maka kami perlu membuat keputusan sukar terhadap isu ini.

“Kami juga menjalankan beberapa kajian dan tinjauan bagi mengetahui bagaimana untuk keluar daripada pelaburan terbabit, syarikat mana dan nilainya akan kami maklumkan selepas selesai kajian dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi,” katanya sempena Majlis Ramah Mesra Pengerusi Mara Bersama Media di sini.

Sementara itu, beliau turut menekankan bahawa MARA akan terus membantu dan melindungi usahawan bagi memastikan kelangsungan perniagaan usahawan.

Menurutnya, perniagaan usahawan dilihat berkembang maju dan berpotensi besar juga akan dibantu melalui khidmat nasihat untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat berskala besar.

“MARA bukan saja membantu dari segi khidmat nasihat, malah latihan dan juga pembiayaan kepada usahawan berjaya.

“Usahawan yang berjaya terus dibantu termasuk mencarikan peluang memperluas perniagaan dalam atau ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata, bagi usahawan permulaan pula pihaknya akan memberi bantuan kepada mereka mempunyai pengalaman beberapa tahun dalam bidang yang hendak diceburi.

“Sebagai contoh jika mereka ingin mendapatkan bantuan dalam industri makanan dan minuman (F&B), sekurang-kurangnya usahawan berpengalaman dalam bidang berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 10:47am
d