bisnes

Khazanah tidak tolak cadangan jual Legoland

Oleh Nurhayati Abllah dan Nora Mahpar

Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) tidak menolak sebarang cadangan penjualan aset sedia ada miliknya termasuk Legoland Malaysia Resort (Legoland Malaysia), jika ia mampu memberi pulangan nilai lebih baik pada masa depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, hasil penjualan daripada aset berpotensi dan memiliki nilai pasaran baik berupaya memberikan Khazanah modal baharu untuk meneroka cabang pelaburan lain yang berupaya memberikan keuntungan lebih tinggi.

“Setiap aset yang kita pegang (miliki) mesti ada prinsipnya yang mana nilai harga munasabah jika kita ingin mempertimbangkan untuk menjualnya.

“Jika kita memperoleh satu nilai atau harga yang memang menggalakkan atau lumayan, maka sepatutnya kita perlu menjual dan melabur ke dalam pelaburan baharu.

“Justeru, kita tidak menolak untuk melepaskan Legoland Malaysia jika ia mampu memberi pulangan yang baik,” katanya selepas taklimat media Prestasi Kewangan Khazanah 2018 dan Mandat Baharu, di Kuala Lumpur, hari ini.

Memetik laporan Bloomberg, sayap pelaburan kerajaan itu sedang mempertimbangkan untuk menjual Legoland Malaysia yang dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion (AS$245 juta), termasuk hutang.

Legoland Malaysia yang terletak di Johor kini dimiliki oleh unit di bawah Khazanah dan dikendalikan oleh Merlin Entertainments Plc.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 4:15pm
d