bisnes

Sasar tarik RM500j

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan jumlah pelaburan francais sebanyak RM500 juta sempena penganjuran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa 2019 (FIM 2019) pada 5 hingga 7 April ini.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz berkata, jumlah itu mampu dicapai berdasarkan situasi pasaran serantau dan pencapaian pelaburan sebanyak RM410 juta tahun lalu.

“Untuk tahun ini, acara pameran dan persidangan ini bakal disertai lebih 100 syarikat francais tempatan dan antarabangsa dari 12 negara seperti Amerika Syarikat (AS), Itali, Australia dan United Kingdom (UK),” katanya pada taklimat pempamer FIM 2019 di sini, semalam.

Beliau berkata, penganjuran FIM 2019 bertujuan menghimpunkan usahawan francais tempatan dan antarabangsa, agensi kerajaan dan institusi kewangan di bawah satu bumbung bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan serta peluang perniagaan francais pelbagai sektor.

Menurutnya, acara itu disokong sepenuhnya dan diiktiraf badan francais antarabangsa iaitu Majlis Francais Dunia (WFC), Konfederasi Francais Asia Pasifik (APFC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Kami menjangka acara pameran tiga hari ini mampu menarik lebih 12,000 pengunjung termasuk pengunjung antarabangsa,” katanya.

Untuk sesi persidangan, lima penceramah tempatan akan berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang francais termasuk Bryan Loo melalui jenama Tealive dan Deric Yeo (The Manhattan Fish Market).

Pada masa sama, acara itu bakal membawa pelabur dari 21 negara seperti Arab Saudi, China, Taiwan, AS dan UK melalui aktiviti misi padanan perniagaan francais bagi membantu jenama tempatan untuk berkembang di peringkat antarabangsa.

Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan berkata, pihaknya menyasarkan 80 syarikat francais tempatan akan menempatkan jenama mereka ke pasaran luar negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Kami mengenal pasti dua kategori syarikat francais (setempat dan berdaya maju) yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran rantau ASEAN serta negara maju seperti Eropah dan Jepun,” katanya.

Setakat ini, 66 syarikat tempatan sudah menempatkan jenama francais mereka ke 65 negara.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 11:00am
d