bisnes

Tempah Persona baharu hanya RM9.99 [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

PERUSAHAAN Otomobil Nasional (Proton) membuka tempahan untuk model Persona Baru 2019 yang ditawarkan pada harga tempahan atas talian RM9.99 bermula esok sehingga 22 Mac 2019.

Empat varian ditawarkan iaitu Standard 1.6L MT (manual), Standard 1.6L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT dengan lima pilihan warna diperkenalkan melalui pratonton eksklusif media yang diadakan hari ini.

Proton Persona generasi kedua ini mula diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan sejak 2016 sebagai kenderaan sedan keluarga dalam segmen B kini dilengkapi ciri baru dengan lebih 300 pembaharuan yang dipertingkatkan.

Ini termasuk gril hadapan berkonsepkan ‘busur panah’ dan gril radiator ‘Infinite Weave’ sebagai elemen utama yang mula diperkenalkan pada Proton X70.

Model ini juga dilengkapi lampu Nyalaan Siang (DRL) terletak pada perumah bampar dengan latar belakang bercorak ‘sarang lebah’ dan ruang kemasukan udara tampil lebih elegan pada posisi lebih rendah serta rekaan rim aloi 15 inci.

Pada bahagian belakang perkataan Proton menggantikan logo, spoiler nipis pada but, bampar diffuser, tulisan Persona baharu serta antena sirip ikan jerung untuk sentuhan gaya lebih premium.

Bahagian ruang dalaman dengan ciri infotainmen bersaiz 7 inci menerima ketersambungan wifi dan aplikasi terkini melalui sistem fungsi arahan suara Hi, Proton yang dibangunkan Proton dan ECARX adalah yang pertama dalam segmennya.

Harga rasmi akan diumumkan ketika pelancaran yang dijangka pada bulan ini.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 5:42pm
d