bisnes

Pelaburan dalam Malaysia Airlines kekal relevan

Oleh Nabil Basaruddin

PELABURAN Khazanah Nasional dalam syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) kekal relevan meskipun syarikat itu masih gagal mencatatkan keuntungan.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, Malaysia Airlines mempunyai nilai besar yang bukan saja tertumpu kepada untung atau rugi malah ia adalah melebihi daripada itu.

Beliau berkata, terdapat manfaat sebenar yang besar diraih daripada syarikat penerbangan yang menjana ekonomi Malaysia seperti pelancongan, urus niaga perniagaan dan sektor pekerjaan industri lain.

"Ia adalah industri yang mana anda perlu melihat apa yang berlaku dalam rantaian nilai ini secara keseluruhan serta banyak peserta menjana keuntungan berbanding syarikat penerbangan itu sendiri.

"Apa yang perlu dilaksanakan adalah mencari kaedah baharu bagi memastikan syarikat penerbangan ini mampu menjadi lebih cekap.

"Antaranya adalah seperti menilai kembali industri penerbangan dan menstrukturkannya kembali," katanya pada sesi forum 'Mandat Baharu, Peluang Baharu' pada acara Invest Malaysia 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Shahril Ridza berkata, penting kepada kerajaan untuk memahami kos yang berkaitan sekiranya mengekalkan operasi Malaysia Airlines dan kesan besarnya kepada ekonomi negara apabila ia dihentikan.

Menurutnya, Khazanah Nasional juga merancang untuk menggunakan baki dana RM6 bilion yang disuntik kerajaan kepada syarikat penerbangan nasional itu pada 2014.

Sebelum ini, kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah terhadap Malaysia Airlines, termasuk kemungkinan menutup syarikat penerbangan negara itu.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 7:22pm
d