bisnes

Kemas kini NAP 2019

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

CYBERJAYA: Kerajaan sedang merangka undang-undang berkaitan kereta terbang dan kereta tanpa pemandu yang akan dimasukkan dalam Dasar Automotif Negara 2019 (NAP 2019).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari berkata, kerangka undang-undang baharu membabitkan dua segmen berteknologi tinggi diperlukan sebagai persediaan bagi mengelakkan masalah kerana ia adalah sesuatu yang baharu kepada industri.

Katanya, kajian terhadap undang-undang baharu itu itu bakal menjadi revolusi dalam industri automotif tempatan.

“Kajian perundangan dilaksanakan membabitkan kereta terbang dan pemanduan autonomi kerana peraturan baharu perlu dilaksanakan termasuk membabitkan insurans dan kemalangan,” katanya kepada media selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara MARii, Altair Incorporated (USA) dan ORS Technologies, semalam.

Mengenai NAP 2019, Madani berkata, dasar yang dikemaskini untuk industri automotif itu bakal dilancarkan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Katanya, proses rundingan dengan pihak berkepentingan sudah pun selesai, dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang meneliti satu dua perkara sebelum ia diserahkan kepada kabinet.

“MITI sedang membuat beberapa penambahbaikan berdasarkan input yang diperoleh daripada pihak berkepentingan.

“Selepas semuanya selesai, Menteri MITI, Datuk Darell Leiking akan menyerahkan kepada Kabinet untuk kelulusan sebelum ia dilancarkan,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 12:09pm
d