bisnes

Zalora jangka jual 80% koleksi Aidilfitri sebelum raya

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Zalora Malaysia menjangkakan sehingga 80 peratus koleksi ditawarkan untuk Aidilfitri tahun ini dapat dijual sebelum perayaan itu berlangsung.

Ketua Kategori Pakaian Muslim Zalora Malaysia, Shasha Ahmad berkata, dengan perkembangan teknologi semasa, trend pembelian juga dilihat terus berubah dengan kebanyakan pelanggan memilih membuat persediaan awal.

“Walaupun Aidilfitri akan tiba tiga bulan lagi, namun penggiat fesyen tempatan mula mengeluarkan koleksi lebaran masing-masing.

“Kami juga perlu seiring dengan trend industri dan turut menawarkan rekaan daripada pereka tempatan di bawah jenama mereka,” katanya.

Shasha berkata, pada awal kemunculan Zalora Malaysia sekitar 2012, koleksi pakaian sopan lebih menumpukan kepada pemakai dalam kalangan Muslimah namun ia kini berkembang kepada skop pelanggan lebih luas.

“Pada ketika itu, kami hanya melihat segmen pakaian sopan ini hanya untuk Muslimah saja dan koleksi ditawarkan juga terhad.

“Namun dengan sambutan positif diterima, ia kini menjadi segmen utama Zalora Malaysia memandangkan koleksi ini tidak hanya terhad untuk musim perayaan sebaliknya ia sesuai untuk semua aktiviti.

“Jumlah pereka dan jenama yang menawarkan koleksi pakaian segmen ini juga terus meningkat setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, bagi musim lebaran tahun ini, pihaknya turut menawarkan antara 50 hingga 200 pasang pakaian setiap jenama dan pereka pada harga bermula dari RM99 yang meliputi saiz sehingga 5XL.

Malah, pihaknya turut menawarkan koleksi sesuai untuk wanita yang menyusukan bayi.

Dalam pada itu, menurutnya pihaknya juga memperkenalkan koleksi pakaian aktif sopan tahun ini bagi memenuhi permintaan pelanggan yang memerlukan pakaian bersesuaian untuk aktiviti sukan dan riadah.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 9:44am
d