bisnes

Pusat penyelidikan stem sel di Langkawi

Oleh Suraya Roslan

KUALA Lumpur: Malaysia akan menjadi negara peneraju di Asia Tenggara sebagai pusat penyelidikan stem sel dan rawatan kanser terbaik dengan pembinaan resort kesihatan di Pulau Bumbon, Langkawi.

Ia akan dilaksanakan menerusi usaha sama empat syarikat iaitu Royaal Bumbon Resort Holding (M) Sdn Bhd, Resort Savers Inc (RSSV), CancerROP dan Pusat Rawatan Terapi Kesihatan Kanser dan Jantung Weber PDT.

Resort bertaraf enam bintang itu akan dibina atas tanah berkeluasan 37 hektar dengan nilai pelaburan RM1.2 bilion di pulau bebas cukai itu akan menjadikan rawatan kanser dikenakan dengan harga berpatutan dan rendah berbanding rawatan di negara luar.

Ketua Pegawai Eksekutif Royaal Bumbon Resort Holding (M) Sdn Bhd Datuk Seri Dr Santhana Kumaar berkata, pihaknya fokus menawarkan rawatan kadar rendah bukan saja untuk yang berkemampuan, tetapi mereka yang memerlukan.

“Dengan adanya teknologi berimpak tinggi dalam stem sel terutama dengan kerjasama hospital terbesar berpangkalan di Korea Selatan, CancerROP akan menjadikan Malaysia salah satu destinasi rawatan kanser di Asia Tenggara.

“Pemilihan Langkawi sebagai lokasi berikutan kawasan berkenaan strategik dan bebas cukai mampu memberi kesan kepada ekonomi negara dan juga negeri Kedah,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Royaal Bumbon, RSSV, CancerROP dan Pusat Rawatan Terapi Kesihatan Kanser dan Jantung Weber PDT di sini, semalam.

MoU itu ditandatangani oleh Dr Santhana, wakil RSSV Datuk Seri Chang Ding Shin, wakil CancerROP Dr Choi Jeong Min dan wakil Pusat Rawatan Terapi Kesihatan Kanser dan Jantung Weber PDT Datuk Dr Azman Ching.

Perjanjian persefahaman itu membolehkan projek itu dimulakan dengan pecah tanah akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 14 Julai depan.

Dr Santhana berkata, projek dengan tiga fasa itu mengambil masa setahun setengah iaitu fasa pertama pembinaan resort kesihatan, fasa kedua hotel dan fasa ketiga perumahan bawah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

“Dengan terbinanya projek ini akan menjadikan ia pusat rawatan swasta dan kesihatan terbesar di Kedah dan produk pelancongan terbaru di negara ini.

“Projek ini akan memberi 300 peluang pekerjaan dan menjana ekonomi baru untuk negara,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 10:06am
d