bisnes

Peluang eksport, labur di Madagascar

Oleh BERNAMA

KUALA Lumpur: Perniagaan dan pelabur Malaysia perlu memanfaatkan peluang pelaburan dan eksport yang besar yang ditawarkan Madagascar, negara pulau di Lautan Hindi, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pembinaan dan Perniagaan MATRADE Datin Rusiah Mohamed berkata, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif hubungan dua hala menerusi penanaman padi.

Menerusi hubungan dua hala itu, beliau berkata, Malaysia boleh menyediakan teknologi misalnya kaedah untuk meningkatkan hasil padi memandangkan nasi adalah makanan ruji penduduk Madagascar.

“Kita mempunyai kepakaran dalam penanaman padi dari segi teknologi dan jentera. Malah, kita juga berkemahiran dalam perkhidmatan pembinaan dan profesional, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembuangan sisa dan tenaga boleh baharu dan boleh menjalin kerjasama dengan negara itu,” katanya.

Rusiah berkata, pasaran Madagascar juga masih baharu bagi Malaysia serta agak asing dalam kalangan rakyat di negara ini melainkan sejak akhir-akhir ini.

“Kini, kita mempunyai platform itu menerusi Majlis Perniagaan Madagascar-Malaysia (MMBC) yang akan mewujudkan pejabat mereka di sini. Lebih baik mereka membina jaringan dan kesedaran dalam kalangan syarikat Malaysia berhubung pasaran di Madagascar,” katanya.

Ketika ini, kira-kira 20 peratus daripada kawasan keseluruhan Madagascar yang berkeluasan 587,041 kilometer persegi dihuni 28 juta penduduk. Sehubungan itu, baki kawasan tersebut boleh dibangunkan untuk pelbagai industri.

Pengerusi MMBC Dr Abdul Kabur Ibrahim yang mengetuai misi perdagangan Malaysia ke Madagascar pada Jun ini berkata, delegasi tersebut akan memberi tumpuan kepada dua bidang.

“Kami akan melihat kepada projek yang perlu diberi keutamaan selain peluang mengeksport produk Malaysia ke Madagascar terutamanya untuk penjagaan kesihatan, berasaskan makanan, berasaskan minyak kelapa sawit, berasaskan getah dan produk berkaitan komoditi yang lain.

“Kami juga melihat pasaran eksport bagi jentera kecil dan pertanian,” katanya.

Beliau berkata, misi itu menyasar untuk membangunkan hubungan perdagangan langsung bagi mengeksport barangan Malaysia memandangkan ketika ini pengimportan oleh Madagascar itu adalah melalui Eropah dan menyebabkan produk itu mencatat harga yang tinggi.

“Jika anda mengunjungi mana-mana pasaraya (di Madagascar), anda boleh menyaksikan banyak produk Malaysia, namun ia tiba melalui Eropah. Produk ini yang berasal dari Malaysia dibungkus oleh syarikat Eropah, menyebabkan harganya tiga kali ganda lebih tinggi,” katanya.

Naib Pengerusi MMBC Johary Christian Rasoarahona berkata, ketika ini kira-kira 20 hingga 30 peratus produk di Madagascar berasal dari Malaysia dengan kebanyakan barangan daripada segmen komoditi dan perubatan yang diimport menerusi Eropah.

“Sarung tangan getah, picagari dan produk perubatan dan komoditi lain yang di jual di Madagascar kebanyakannya didatangkan dari Malaysia dengan harga dinaikkan sehingga 10 peratus kepada AS$1 bagi setiap satu. Oleh itu, kami mahu mendapatkan laluan perdagangan langsung tersebut.

“Penduduk Madagascar menggunakan banyak produk keluaran Malaysia, namun tidak tahu barangan tersebut dari negara ini. Memandangkan mereka membeli banyak produk Malaysia, kami akan berusaha memberitahu mereka bahawa apa yang mereka gunakan adalah tidak berbaloi dengan apa yang dibayar,” katanya.
– BERNAMA

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 10:24am
d