bisnes

Airbus mahu kembang hab MRO helikopter di Subang

Oleh hmdigital

LANGKAWI: Airbus merancang untuk mengembangkan hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopternya yang terletak di Subang, Selangor.

Ketua Pertahanan dan Angkasa Airbus, Asia Tenggara, Johan Pelissier, syarikat akan melabur beberapa juta ringgit untuk mengembangkan kemudahan di Subang itu termasuk membuka pusat latihan, khidmat pelanggan dan perkhidmatan MRO.

“Kami mahu mengembangkan pusat latihan dengan menambah bilangan simulator sedia ada dan tidak lama lagi akan membuka pusat penyiapan dan penyerahan helikopter bagi rantau ini di Malaysia,” katanya pada taklimat media Airbus pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) di Langkawi, semalam.

Hadir sama Ketua Jualan Asia Tenggara dan Pasifik Fabrice Rochereau.

Dalam perkembangan lain, Pelissier berkata, Airbus kini sedang dalam proses menyediakan jawapan balas kepada Kerajaan Malaysia mengenai pesawat peronda maritim C295 MPA keluarannya.

Katanya, Airbus sudah menerima Permintaan Maklumat (RFI) dari Kerajaan Malaysia berhubung pesawat peronda maritim C295 MPA pada awal tahun ini. Kami akan membalas RFI yang dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia. Mereka ada memberi tarikh akhir bila RFI ini harus dibalas dan kami sedang menyediakannya ketika ini.

RFI ialah proses perniagaan standard yang mana tujuannya ialah untuk mengumpul maklumat bertulis mengenai keupayaan pelbagai pembekal.

Kebiasaannya ia menggunakan format yang boleh digunakan untuk tujuan perbandingan.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 10:14am
d